by Mohd Norhadie Sahari. Posted on May 14, 2012, Monday
Sebaran luas radio terbabit di rumah panjang, kampung perlu dipantau k’jaan
MIRI: Radio Free Sarawak (RFS) yang menjadi kebanggaan parti pembangkang sebagai medium meraih undi rakyat hanya dilihat sebagai satu alat untuk meracuni pemikiran rakyat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus berkata penyebaran luas radio terbabit khususnya di kawasan rumah-rumah panjang dan kampung perlu dipantau oleh kerajaan.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan ambil mudah penggunaan radio terbabit kerana ia mampu meracuni dan merosakkan pemikiran waras pendengar untuk membenci kerajaan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Sebagai contoh katanya, radio terbabit yang menggunakan bahasa Iban sebagai pengantara secara terang-terangan cuba meraih undi masyarakat Iban di kawasan luar dan pinggir bandar.
“Kita percaya masyarakat Iban khususnya di kontituensi Sibuti tidak mudah terpengaruh dengan siaran radio terbabit sebaliknya menolak pemberian radio itu oleh pembangkang sekiranya ada,” tegasnya.
Rosey yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga tidak menafikan terdapat cubaan parti pembangkang memberikan radio itu secara percuma di luar bandar.
“Kita tidak takut atau gentar dengan kewujudan radio terbabit tetapi kita bimbang ia menjadi satu alat untuk menanam unsur-unsur kebencian terhadap kerajaan,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak agar tidak mudah terperdaya dengan taktik pembangkang yang menghulurkan bantuan sementara kepada mereka.
“Pemberian beras, gula dan sebagainya hanya satu taktik pembangkang yang kononnya mereka prihatin dengan kebajikan rakyat namun agenda tersembunyi mereka ialah untuk meraih undi,” jelasnya.
Menurutnya hanya kerajaan BN sahaja yang mampu menyediakan semua keperluan rakyat tidak mengira masa berbanding pembangkang yang hanya datang pada musim pilihan raya.
“Kami berharap rakyat terus menolak pembangkang dan sokongan kepada mereka hanya akan merugikan rakyat serta merosakkan pelan pembangunan kerajaan,” ujarnya.
Sehubungan itu sekiranya rakyat memerlukan bantuan atau sebagainya mereka boleh merujuk kepada wakil rakyat BN atau agensi kerajaan berkaitan yang sedia membantu mereka.
No comments:
Post a Comment