Tuesday 15 May 2012

‘Jelaskan kegagalan tender terbuka’

Posted on May 12, 2012, Saturday

Buku Jingga berjanji PKR akan laksana tender terbuka bagi semua projek
PETALING JAYA: GERAKAN Kedah semalam mendesak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan mengapa negeri tersebut tidak melaksanakan konsep tender terbuka seperti yang dijadikan janji manisnya dalam Buku Jingga.

Ketua Pemuda GERAKAN Kedah Tan Keng Liang berkata Buku Jingga yang dilancar oleh Anwar tahun lepas berjanji bahawa parti itu akan melaksanakan dasar tender terbuka bagi semua projek di negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.

“Namun tiada tender terbuka dibuat oleh kerajaan Kedah sebelum memasuki perjanjian usaha sama bagi projek kompleks beli-belah Aman Sentral bernilai RM500 juta dan projek kediaman Amansuri Residences bernilai RM109.55 juta,” katanya.

Tan berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum desakan itu kepada pegawai di Pejabat Ketua Umum PKR, Najwan Halimi di hadapan pintu masuk ibu pejabat PKR di sini semalam.

Katanya, kerajaan Kedah telah mengambil alih tanah rakyat untuk projek Aman Sentral dengan kos lebih kurang RM40 juta dan kemudiannya telah mewartakan pengambilan tanah itu untuk dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negari Kedah (PKNK).

“Tetapi perbadanan ini telah memasuki satu perjanjian usahasama dengan syarikat swasta dari Pulau Pinang iaitu Belleview Group, syarikat yang sama memajukan projek Amansuri Residences.

“Ini tidak betul kerana tanah diambil alih oleh kerajaan negeri bagi pembangunan PKNK dan PKNK sepatutnya membangunkannya,” katanya.

Sehubungan itu, Tan menggesa Anwar menjelaskan tindakan yang akan diambil untuk memperbetulkan keadaan bagi projek-projek tersebut yang bernilai lebih daripada RM600 juta.

“Saya berharap Anwar segera menjelaskan perkara ini kerana ia serius dan melibatkan duit rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Selasa lepas, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mendakwa projek itu tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri dan dilaksanakan sepenuhnya menggunakan kewangan Belleview Group. — Bernama

No comments:

Post a Comment