Monday 21 May 2012

Awas! Musang berbulu ayam, kata Masing

by Florence Nervyn. Posted on May 21, 2012, Monday


Masyarakat luar bandar diingat tidak mudah terpedaya dengan muslihat parti politik baharu
SELANGAU: Masyarakat luar bandar khususnya di kawasan Parlimen Selangau diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan muslihat parti politik baharu yang diibaratkan sebagai musang berbulu ayam.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata, perkara ini perlu diambil perhatian yang serius oleh masyarakat luar bandar kerana ia dilihat mampu memecahbelahkan perpaduan di kalangan mereka.

“Parti politik baharu yang boleh diibaratkan sebagai musang berbulu ayam ini sentiasa berusaha mencari peluang yang sesuai dan terbaik untuk melemahkan antara sesama kita.

“Maka, jangan sesekali membiarkan diri kita terperdaya dengan tipu helah mereka,” jelasnya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek-projek Kerajaan di Rumah Ingu, Sungai Buloh, Selangau, kelmarin.

Tambah beliau, golongan intelektual khususnya masyarakat Iban turut memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang betul mengenai dasar-dasar kerajaan.

“Usaha ini penting agar masyarakat kita sentiasa bersatu hati menyokong kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang komited dalam pembangunan rakyat,” ujarnya.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah turut menyeru rakyat yang inginkan kemajuan dan pembangunan agar bersama-sama menyokong penuh segala usaha kerajaan demi kemakmuran rakyat.

“Kerajaan sentiasa komited dalam melaksanakan agenda pembangunan rakyat. Sokongan rakyat penting bagi memastikan apa yang direncanakan dapat direalisasikan bersama,” jelasnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk John Sikie Tayai dan ADUN Tamin Joseph Mauh Ikeh.

No comments:

Post a Comment