MERIAH: Taib menerima sorakan bergemuruh daripada Pergerakan Pemuda PBB ketika keluar dari majlis pelancaran program Armada Pemuda PBB yang bertemakan ‘Misi Kemanusiaan’ yang diadakan di Tebingan Kuching, Selasa lalu. Turut kelihatan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (belakang Taib).
KUCHING: Pergerakan Pemuda khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu menggunakan kekuatan parti sebagai landasan untuk meneruskan perjuangan dengan berkhidmat dan membawa perubahan kepada rakyat tanpa mengira di bandar atau luar bandar.
Presiden PBB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, dengan itu ia mampu membolehkan gerakan pemuda memberi khidmat bakti terutama dengan menyamaratakan sosioekonomi kepada rakyat, yang merupakan asas penubuhan parti itu sejak lebih 30 tahun lalu.
“Pemuda boleh dan lebih berani kerana anda mempunyai organisasi yang kuat, parti yang kukuh serta pemimpin yang berwibawa selain mempunyai program untuk melatih generasi muda untuk bekerja gigih.
“Inilah gambaran dan perjuangan Pemuda sekarang dan saya harap anda gunakan kekuatan yang sudah ada ini dan gunakan dasar-dasar yang elok yang akan membawa perubahan,” kata.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Armada Pemuda PBB yang dihadiri Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof, di Tebingan Kuching di sini Selasa lalu.
Ketua Menteri dalam pada itu percaya matlamat untuk meneruskan pembangunan itu dapat dicapai kerana mereka berjuang bukan untuk memekik, berdemonstrasi dan mencari kesalahan orang lain.
“Ini kerana kita telah dididik dengan semangat perjuangan ingin berkhidmat dan mahu mengubah masyarakat kita dengan tangan kita sendiri. Inilah PBB,” tegasnya.
Beliau menjelaskan ia adalah perjuangan parti dan telah terbukti dalam dasar PBB, dan parti komponen BN lain bahawa BN tidak berbuat memekik dan mengharap tetapi membuktikan boleh berkhidmat.
Bagaimanapun ujarnya perjuangan yang telah dicetuskan sejak merdeka iaitu untuk terus membangunkan negeri ini masih belum selesai dan percaya ia perlu memenuhi aspirasi dan keinginan rakyat yang semakin tinggi.
“Sebab itu kita dalam PBB, setiap ahli kita yang ada peluang mencapai dasar ekonomi kita, kita tahu ia perlu dilonjakkan melalui pembangunan namun siapakah yang akan memperjuangkannya?
“Siapa yang dapat menjamin untuk membawa perjuangan yang lebih tinggi dan jawapannya adalah anda semua.
“Pemudahlah yang akan memikul bebanan yang telah kita bawakan pada hari ini,” kata Taib.
Berhubung program Armada Pemuda yang menjelajah di setiap bahagian di negeri ini beliau berkata ia menjadi satu simbolik untuk menanam semangat kepada Pemuda PBB untuk membela negeri dan rakyat.
Melalui program itu kata beliau, gerakan Pemuda boleh bertemu dengan rakyat sedekat-dekatnya selain menerangkan dengan lebih jelas tentang isu semasa pembangunan negeri termasuk peluang pekerjaan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Masa depan Sarawak dalam tempoh 20 tahun akan datang adalah di tangan anda semua untuk menjadikan Sarawak menjadi masyarakat teknikal dengan adanya peluang-peluang pekerjaan di SCORE,” kata beliau.
Dengan nilai pelaburan RM30 bilion dalam pelbagai industri di SCORE ia dijangka menyediakan kira-kira 250,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 20 tahun dari sekarang, ujarnya.
No comments:
Post a Comment