Tuesday 8 May 2012

Ketua masyarakat kecewa belum terima kenaikan elaun dijanjikan kerajaan

Posted on May 8, 2012, Tuesday
KUCHING: Kenaikan elaun ketua masyarakat kepada RM800 sebulan daripada RM450 sebulan, seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2011 sehingga kini masih belum lagi dinikmati oleh pemimpin akar umbi berkenaan di negeri ini.

Hasil temu bual dengan beberapa ketua masyarakat di sini, mereka berasa kecewa terhadap pengumuman yang pernah menggembirakan mereka lebih setahun lepas.

“Sudah setahun setengah, kami masih belum menikmati kadar kenaikan elaun ini.

“Bahkan status mengenai pelaksanaannya juga tidak di-ketahui,” demikian rungutan salah seorang ketua kampung yang enggan identitinya di dedahkan.

Beliau menambah, perkara itu bukan sahaja menjadi rungutannya seorang tetapi juga oleh ketua masyarakat lain dari semua daerah di sini.

“Ramai kalangan ketua kampung menyuarakan rasa kecewa terhadap perkara ini… malah, ada yang sudah tamat tempoh perkhidmatan,” katanya.

Sementara Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Kuching Austin Dimin Niyon yang dihubungi bagi mengulas perkara berkenaan berkata pelaksanaan kenaikan kadar elaun tersebut adalah di bawah kerajaan persekutuan.

“Memang ramai ketua masyarakat kita yang menunggu dan telah menyuarakan perkara ini kepada saya.

“Tetapi, apa yang saya maklum ialah pembayarannya adalah dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan setakat ini ia masih belum dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, Austin yakin bahawa ia pasti akan dilaksanakan dalam tempoh tertentu.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan persekutuan menyegerakan pembayaran kenaikan elaun tersebut ke-pada ketua-ketua masyarakat di negeri ini.

“Kenaikan elaun daripada RM450 sebulan kepada RM800 sebulan memang akan diberi tetapi kita belum tahu bila.

“Maka itu, saya berharap agar ketua-ketua masyarakat dapat bersabar,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2011 mengumumkan kenaikan elaun terhadap pemimpin masyarakat berkenaan kepada RM800 sebulan berbanding RM450 sebelumnya.

No comments:

Post a Comment