Monday 21 May 2012

SWP dianggap parti terdesak

Posted on May 21, 2012, Monday


SELANGAU (Sarawak): Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Entulu Belaun menyifatkan Parti Pekerja Sarawak (SWP) sebagai sebuah parti yang terdesak dalam usahanya mahu diterima rakyat negeri itu.

Katanya perkara itu dapat dilihat menerusi tindakan mereka menggunakan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam semua majlis mereka.

“Perbuatan itu bagi menggambarkan mereka diterima oleh dua pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam usaha menghancurkan parti komponen BN negeri PRS,” katanya pada perjumpaan dengan rakyat, di Rumah Edward Ingu, Sungai Buluh dekat sini malam kelmarin.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang yang juga naib presiden PRS, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk John Sikie Tayai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tamin Joseph Mauh Ikeh.

Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau, bagaimanapun yakin strategi SWP itu akan memakan diri kerana agenda mereka untuk menggantikan PRS dalam BN akan terdedah tidak lama lagi.

“Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing telahpun mendapatkan pengesahan daripada Najib dan Taib berhubung dakwaan sokongan kepada SWP yang mana kedua-dua pemimpin itu berkata mereka tiada kena-mengena dengan SWP,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat Dayak di Sarawak agar menjauhi SWP kerana hanya PRS yang dapat memperjuangkan nasib mereka.

Mengenai perkara lain, Entulu berkata PRS mungkin mempunyai sekutu di kerusi Selangau apabila ada desas-desus menyatakan pemimpin tempatan Parti Keadilan Rakyat yang ingin bertanding di situ telah menggesa penyokongnya agar mengundi BN dan menolak SWP. — Bernama

No comments:

Post a Comment