Tuesday 8 May 2012

BN berjaya selesai semua isu libatkan kebajikan rakyat luar bandar


Posted on May 8, 2012, Tuesday


MIRI: Penyandang kerusi Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya menyelesaikan semua isu melibatkan kebajikan rakyat khususnya di luar bandar.

Beliau berkata, kontituensi Sibuti sendiri tidak mempunyai sebarang isu besar yang berbangkit kerana sebahagian besarnya yang cuba dibangkitkan sesetengah pihak, telah diselesaikan.

“Jika bercakap mengenai subsidi minyak, kerajaan masih menyediakan bantuan itu.

“Jika isu sekolah pula, kerajaan ada peruntukan membaik pulih sekolah manakala nelayan masih mendapat bantuan RM200 sebulan,” katanya.

Menurutnya, kawasan Sibuti bebas daripada isu-isu yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat dan jika adapun isu, ia adalah isu lapuk dan telah diselesaikan kerajaan.

“Saya yakin bahawa kawasan Sibuti adalah bersih dan berpotensi besar untuk dikekalkan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kelak,” jelasnya.

Menurutnya, selagi kerajaan BN kekal memerintah, rakyat akan terus menikmati kemajuan dan kebajikan mereka akan terus dijaga rapi.

“Terpulang kepada rakyat untuk menilai dan memilih kerajaan namun selagi kerajaan BN mendapat mandat rakyat, mereka akan terus menikmati pelbagai kemudahan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekarang adalah masa yang tepat kepada rakyat untuk menolak parti-parti politik dari luar yang hanya datang pada musim pilihan raya.

“Jangan menerima parti luar khususnya pembangkang kerana mereka hanya datang untuk merosakkan pelan pembangunan kerajaan seperti yang berlaku di Selangor selama ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment