by Sudan Ajang. Posted on May 6, 2012, Sunday
Terpulang pada kepimpinan BN pilih calon boleh menang, kata Chin
MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sudah menghantar semua senarai bakal calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Presidennya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
“Kita sudah menghantar senarai nama ke Setiausaha Agung Ibu Pejabat Barisan Nasional di Kuala Lumpur pada 30 April lalu. Namun kita tidak boleh dedahkan kerana sudah diarahkan daripada BN untuk mengumumkan nama itu pada masa yang sesuai nanti.
“Semua senarai nama adalah calon yang boleh menang. Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai calon adalah ia terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN,” katanya pada sidang media selepas penyampaian dermasiswa badan Amal Isteri-isteri menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan (BAKTI) mewakili isteri beliau, Datin Ruby Chin di ibu pejabat SUPP Miri semalam.
Hadir sama Setiausaha Politik beliau merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Piasau, Datuk Sebastian Ting.
Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata, Najib mempunyai cara tersendiri untuk menganalisis dan mengukur calon yang boleh menang.
“Bagi SUPP pula, sudah tentu kita mempunyai cara tersendiri untuk mengukur dan menganalisis calon yang boleh menang, ini termasuk penampilan dan cara pembawaan.
“Sebagai contoh gambar poster, kita tidak dapat meletakkan gambar calon yang muka masam dan tidak menarik. Siapa yang mahu calon tidak boleh menang?” katanya.
Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) SUPP baru-baru ini mengumumkan calon iaitu Timbalan Presiden SUPP Datuk Richard Riot bertanding di Serian, manakala Timbalan Setiausaha Agung II Ding Kuong Hiing di Sarikei dan Ketua Pemuda Tan Kai di Bandar Kuching untuk PRU13 nanti.
“Kita hanya mengumumkan bakal calon, namun ia belum muktamad lagi,” katanya.
Sementara itu, seramai sembilan pelajar dari lapan buah sekolah menengah sekitar Miri menerima dermasiswa sebanyak RM600 atas pencapaian cemerlang mereka dalam akademik.
Chin menasihatkan para penerima agar menggunakan wang itu dengan berhemah untuk membeli buku dan keperluan sekolah.
Dermasiswa itu mulai diperkenalkan pada tahun lepas.
No comments:
Post a Comment