Tuesday 15 May 2012

PR gesa Perdana Menteri bubarkan Parlimen

Posted on May 15, 2012, Tuesday

KUCHING: Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri membubarkan Parlimen sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

“BN telah bersedia? Jika BN telah bersedia maka saya memohon kepada Perdana Menteri kita untuk membubarkan Parlimen.

“Tidak ada maknanya memberitahu telah bersedia, tetapi masih memegang kunci untuk pilihan raya. Ini hanya gimik BN sahaja,” kata Ahli Parlimen Sibu yang juga ADUN Bukit Asek Wong Ho Leng daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas istiadat pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-17 di Kompleks DUN di sini semalam.

Wong turut yakin Pakatan Rakyat (PR) terdiri daripada DAP, PKR dan PAS akan menang 10 kerusi Parlimen Sarawak atau lebih pada PRU13 akan datang.

“Kami yakin akan dapat 10 kerusi di Sarawak dan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan BN mendapat kurang daripada dua pertiga kerusi,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan 10 kawasan kerusi yang dikenal pasti akan menang dan menyerahkan kepada media untuk membuat spekulasi sendiri.

Ditanya mengenai perancangan untuk bergabung dengan Parti Pekerja Sarawak (SWP), Wong berkata tidak ada satu parti PR yang berbincang untuk tujuan itu.

Tegasnya, tiada agenda untuk perkara ini dan tiga parti PR iaitu DAP, PKR dan PAS tidak pernah berbincang mengenai gabungan ini.

“Sudah pasti semakin kuat semakin baik tetapi kami tidak ada agenda untuk ini,” tegasnya kepada pemberita.

Pada masa yang sama Wong turut berharap agar dua lagi parti PR iaitu PKR dan PAS akan menjadi kuat seperti DAP kerana katanya tidak ada maknanya jika DAP kuat tetapi dua lagi rakan parti tidak kuat.

No comments:

Post a Comment