Wednesday, 23 May 2012

DAP juara mempolitik pendidikan Cina yang tidak melakukan apa-apa

Posted on May 23, 2012, Wednesday

KUCHING: Pembangkang, khasnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjadi juara dalam isu mempolitikkan pendidikan Cina tetapi tidak pernah melakukan apa-apa sebaliknya hanya bercakap sahaja.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sedangkan isu pendidikan merupakan isu yang serius dan tidak harus dipolitikkan seperti mana yang dilakukan DAP.

“Bertahun sudah, DAP tidak pernah melakukan apa-apa melainkan bercakap sahaja.

“Berbeza pula dengan Barisan Nasional (BN) Sibu, sebanyak lima sekolah rendah Cina telah dipindahkan dari luar bandar ke bandar kini.

“Kami juga telah membantu menaik taraf atau membina tidak kurang daripada 12 sekolah rendah dan menengah Cina termasuk sekolah mubaligh, sehingga menukar mereka menjadi beberapa sekolah terbaik di negeri ini, lengkap dengan peralatan,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Menurut Wong lagi semasa lawatannya ke Sibu pada 27 April 2012, Perdana Menteri turut mengumumkan geran RM1.5 juta bagi SJK Thai Kwang di kawasan Dudong.

“Bagaimanapun Yang Berhormat Bukit Assek (DAP-Wong Ho Leng) telah menyatakan kepada rakyat Sibu bahawa RM1.5 juta, tidak ada apa yang dibanggakan dengan pengumuman itu kerana ia adalah wang pembayar cukai yang digunakan sebagai gula-gula pilihan raya.

“Ia menunjukkan beliau tidak berterima kasih dan menunjukkan tidak menghormati seseorang yang memberi bantuan kepada sekolah-sekolah Cina dan ini satu lagi isu pendidikan yang dipolitikkan,” tegas Wong.

Beliau dalam pada itu memberi amaran kepada pembangkang khasnya DAP agar tidak mempolitikkan pendidikan Cina semata-mata untuk meraih publisiti murahan untuk mereka.

No comments:

Post a Comment