Tuesday 8 May 2012

SWP bertanding guna lambang sendiri jika permohonan dilulus SPR


Posted on May 8, 2012, Tuesday


KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menggunakan lambangnya sendiri jika permohonannya diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SWP telah mendaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan bulan lepas.

Menurut Pengarah SPR Negeri Datu Takun Sunggah, penggunaan lambang seperti dipohon SWP akan diluluskan jika ia memenuhi semua syarat ditetapkan suruhanjaya itu.

“Setahu saya, pegawai-pegawai di ibu pejabat SPR di Kuala Lumpur akan bermesyuarat dan menentukan sama ada ia akan meluluskan (penggunaan) lambang SWP pada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Diminta mengulas lanjut, Takun berkata beliau percaya lambang SWP akan diluluskan penggunaannya sebelum PRU diadakan kerana sekarang ia hanya menanti untuk diluluskan.

Sementara itu menurut Timbalan Presiden Protem SWP George Lagong, parti itu kini sedang merekrut ahli dan respons daripada pengundi bandar dan luar bandar amat menggalakkan.

“Sebaik kami berkeyakinan mempunyai ahli yang kuat, kami akan melancarkannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus itu berkata beliau tidak dapat mengulas sama ada Datuk Sng Chee Hua merupakan ahli SWP atau sebaliknya.

Beliau berkata lambang parti itu berupa topi keledar dan berjabat tangan sebagai mengiktiraf kepentingan pekerja dan rakyat secara keseluruhannya.

Sng yang dihubungi pula enggan mengulas sama ada beliau kini ahli SWP atau orang yang memperkenalkan parti tersebut.

Spekulasi hangat mengatakan SWP berhasrat bertanding di enam kerusi milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada PRU nanti.

Sng dilihat begitu aktif bergerak di peringkat akar umbi terutama di Selangau dan Julau, kedua-duanya kerusi PRS.

Empat lagi kerusi diimpikan SWP ialah Sri Aman, Lubok Antu, Hulu Rajang dan Kanowit.

Presiden PRS Tan Sri James Masing bagaimanapun enggan mengulas mengenai spekulasi itu.

No comments:

Post a Comment