Wednesday, 2 May 2012

Chin tidak umum calon bertanding PRU13 dalam masa terdekat

Posted on May 1, 2012, Tuesday

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sri Peter Chin tidak akan mengumumkan calon yang bertanding bagi kawasan Parlimen Miri (P.219) dan Parlimen lain untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti dalam masa terdekat.

“Kita perlu mematuhi kehendak Setiausaha Agung SUPP bahawa keputusan siapa yang bertanding akan diumumkan apabila tiba waktunya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pemimpin bertemu rakyat di Ibu Pejabat SUPP Miri semalam.

Semalam merupakan hari terakhir untuk parti komponen Barisan Nasional (BN) menghantar senarai nama calon.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menambah, mereka berbincang dengan parti komponen BN yang lain mengenai pemilihan calon yang bertanding di setiap konstituensi.

“Sebagai presiden SUPP dan seperti parti komponen BN yang lain, kami akan meletakkan calon yang boleh menang.

“Perkara ini sudah dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi pada Mac lalu dan kami akan mematuhi keputusan itu,” katanya.

Ditanya mengenai calon untuk Kuching, Serian dan Sarikei yang sudah diumumkan baru-baru ini, Chin ber-kata: “Ia adalah cadangan dan bukannya keputusan muktamad.

“Keputusan muktamad perlu melalui proses pemilihan dan mendapat persetujuan semua parti komponen BN.

“Saya mahu tegaskan di sini, bahawa siapa calon di kerusi SUPP selebihnya akan diumumkan nanti. Buat masa ini, kami tidak akan buat apa-apa pengumuman.”

“Kami tidak mahu ada pihak yang tidak gembira, sebagai contoh jika mereka tidak dipilih. Pilihan raya mungkin masih jauh dan kami tidak mahu sebarang masalah tercetus jika peng-umuman dibuat terlalu awal,” tambahnya.

Sementara itu, pada Mesyuarat Jawatankuasa Liason SUPP Miri-Sibuti di SUPP Miri pada petang semalam, Chin mengingatkan supaya semua ahli menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap PRU13.

“Ini bukan masa untuk bermain, tetapi kita perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan Parlimen Miri,” katanya.

Lebih 20 ahli jawatankuasa daripada semua cawangan SUPP Miri dan Sibuti menghadiri mesyuarat yang diada-kan secara tertutup.

No comments:

Post a Comment