Tuesday 15 May 2012

NGO: Ambiga perlu bertanggungjawab terhadap polis mangsa perhimpunan

Posted on May 12, 2012, Saturday

PETALING JAYA: Penganjur perhimpunan yang disokong pembangkang, Datuk S.Ambiga, perlu bertanggungjawab terhadap anggota polis yang menjadi mangsa keganasan peserta perhimpunan pada 28 April lepas.

Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Selangor Kuan Chee Heng berkata, tindakan Ambiga yang membisu berhubung insiden keganasan terhadap anggota polis seolah-olah menggambarkan ia dibenarkan oleh undang-undang.

“Setakat ini, kita lihat Ambiga tidak mengeluarkan kenyataan mengenai isu keganasan terhadap polis. Ia menjadi contoh buruk kepada generasi muda, seolah-olah memukul polis dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai kira-kira 70 wakil badan bukan kerajaan dari kawasan Subang Jaya untuk menyatakan sokongan penuh terhadap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, semalam.

Kuan berkata, tindakan Ambiga yang tetap meneruskan perhimpunan itu di kawasan Dataran Merdeka walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah melarang ia diadakan di kawasan itu menunjukkan beliau dan penganjur lain memperlekehkan undang-undang.

“Ambiga sebagai seorang peguam sendiri tidak menghormati undang-undang. Jika keputusan memihak kepada mereka ia dikatakan adil, dan sekiranya tidak mereka akan kata itu mahkamah Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau mendakwa perhimpunan itu mempunyai agenda tersirat dan bukannya untuk membantah sistem pilihan raya di Malaysia.

“Mereka cuba mewujudkan keganasan di Malaysia dan ingin menunjukkan kepada negara luar bahawa Malaysia negara yang tidak selamat. Negara kita berdemokrasi, bertarunglah di medan politik yang betul dan jangan buat kekecohan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) kawasan Subang Jaya Amran Ahmad berkata tuduhan yang dilemparkan oleh peserta perhimpunan terhadap polis akan menyebabkan mereka bekerja dalam keadaan tertekan dan kurang bersemangat.

“Bagaimana polis hendak mengurangkan kadar jenayah kalau mereka tidak henti-henti menuduh polis yang menimbulkan keganasan…kalau polis tidak dapat bekerja dengan baik maka kes jenayah akan terus meningkat,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment