Tuesday 15 May 2012

Kumpulan Wong diminta buktikan kesediaan berdamai

Posted on May 10, 2012, Thursday

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin mahu kumpulan bekas Setia-usaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh membukti-kan mereka sedia berdamai dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, dengan bukan sekadar berkata-kata.

Katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Wong dalam akhbar semalam bahawa parti ‘perlu mengetepikan sebarang krisis atau ketidakpuasan hati sekurang-kurangnya selepas PRU’.

“Malah saya berani menambah kata bahawa kita harus bertindak dan melakukan usaha sebagai SUPP yang bersatu untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya kepada Utusan Borneo menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri memberitahu, perpaduan dalam SUPP amat penting khasnya apabila ingin mempertahankan kerusi yang diperuntukkan kepada parti.

Dua daripada kerusi Parlimen SUPP iaitu Bandar Kuching dan Sibu bagaimanapun berjaya dirampas oleh DAP.

Lima kerusi SUPP lain adalah Stampin, Serian, Sarikei, Lanang dan Miri.

“(Tidak ada gunanya kita bermusuh kerana) musuh SUPP adalah DAP di semua kerusi di kawasan bandar kita,” katanya.

Sementara itu, Wong dalam laporan akhbar semalam mahu sebarang ketidakpuasan hati atau perbezaan pendapat dalam parti diketepikan terlebih dahulu kerana parti perlu memfokuskan kemenangan 100 peratus pada PRU13.

“Sekiranya ingin bertelingkah, bertelingkahlah selepas pilihan raya… tetapi buat masa ini kita mesti menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU13, seperti yang dinasihatkan oleh Ketua Menteri,” katanya.

No comments:

Post a Comment