Tuesday 8 May 2012

Penyokong kuat Kelab BN, G5 selar tuduhan Tiong


Posted on May 8, 2012, Tuesday


MIRI: Penyokong kuat Kelab BN dan Kumpulan 5 G5 di Marudi menyelar tuduhan Datuk Seri Tiong King Sing terhadap mereka yang disifatkan sebagai satu pembohongan dan fitnah.

Mereka menganggap timbalan presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu tidak mendapat maklumat yang betul tentang perkara sebenar khasnya melibatkan aktiviti-aktiviti G5 dan Kelab BN.

Pada hari Sabtu lalu, Tiong dalam ucapannya ketika menemui penduduk di Rumah Margan Bakong, menuduh bekas Setiausaha Kehormat dan ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri Muran dan ahli G5 sebagai kumpulan yang mensabotaj dan menentang BN.

Penyokong Entri dikatakan enggan menghadiri majlis anjuran BN atau SPDP di Baram sebagai tanda protes dan rasa tidak berpuas hati mereka terhadap `pembuangan’ G5 daripada SPDP.

Bekas Pengerusi SPDP Cawangan Beluru Tuai Rumah Steward Kayong dan Tuai Rumah Salim Abong dari Sungai Selulit, Bok di Tinjar menyelar tuduhan Tiong terhadap Entri dan G5.

“Tiong tidak mendapat maklumat yang betul tentang kehadiran mereka pada majlis BN.

“Ini kerana Entri dan 12 penyokong Kelab BN telah menghadiri mesyuarat Pilihan Raya Parlimen BN yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Baram Datuk Jacob Dungau Sagan di Marudi pada 12 April lalu,” jelas Kayong.

Kayong menambah, tuduhan Tiong terhadap penyokong Kelab BN sebagai bukan penyokong BN adalah tidak benar dan tidak berasas.

Mereka mendakwa Tiong sebagai membuat tuduhan melulu tanpa membuat sebarang penilaian ataupun kaji selidik daripada sumber-sumber yang sah.

Selain itu, tuduhan terhadap Entri memaksa ahli SPDP menyerahkan kad keahlian parti dan menyertai Kelab BN sebagai `dorongan’ untuk melaksanakan projek-projek kerajaan.

“Entri tidak pernah memaksa ahli SPDP untuk menyertai Kelab BN.

“Ini adalah fitnah kerana kami menyertai kelab ini kerana kerelaan sendiri.

“Entri turut memberitahu, pilihan bergantung kepada ahli itu sendiri. Kami di belakang beliau kerana beliau adalah pemimpin kami dan kami percaya kepadanya,” jelas Salim.

Selain itu, tuduhan Entri mengancam penduduk terhadap pembangunan projek di kawasan Marudi juga tidak benar.

Mereka berharap perjuangan G5 dan Kelab BN tidak dijadikan isu atau kontroversi oleh pihak-pihak tertentu yang akan memecahbelahkan kumpulan-kumpulan penyokong BN khasnya di kawasan luar bandar.

No comments:

Post a Comment