by Agnes Tugong. Posted on May 8, 2012, Tuesday
MUKAH: Barisan pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri diingatkan supaya memikirkan bagaimana untuk memperkuatkan BN agar tidak terjejas pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Peringatan ini dinyatakan sendiri oleh Pengerusinya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika berucap di hadapan lebih 4,000 penduduk pada Program Berambeh di padang Majlis Daerah Dalat di sini semalam.
Menurut beliau barisan pemimpin BN tidak boleh lagi berfikir pada skop yang kecil sebaliknya ia harus diubah ke arah perjuangan yang lebih besar untuk memungkinkan kita menjadi sebuah negara yang teknikal.
“Dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) tiada berlakunya hal perebutan atau berlawan antara satu sama lain.
“Ini semua didorong oleh kepimpinan PBB yang merancang dengan baik apa jua perkara membabitkan parti dan ahli-ahlinya.
“Sebab itu kita dapat melihat dalam PBB ada muka lama dan baru setiap kali menjelang pilihan raya dengan harapan ia akan memperkukuhkan lagi perjuangan kita,” katanya.
Taib kemudiannya meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 sebagai bantuan kepada kerja-kerja menaik taraf Pekan Sabtu Oya dan penjaja yang terdiri daripada para wanita.
Terdahulu dalam ucapannya, Taib yang juga Ketua Menteri turut mengingatkan rakyat supaya mengubah cara pemikiran daripada berharap kepada bantuan sebaliknya menggunakan bantuan untuk berjaya.
Era baharu ini katanya, berkehendakan 100,000 graduan teknikal peringkat ijazah dan diploma.
Justeru katanya, rakyat mesti tahu ekonomi akan berkehendakan orang yang cukup latihan.
“Dalam tempoh 20 tahun lagi, SCORE yang dibawa oleh BN bukan lagi perjuangan Taib atau pemimpin-pemimpin yang lain sebaliknya adalah perjuangan semua pihak,” katanya.
Mengulas mengenai kemajuan di kawasan Mukah termasuk Oya, Dalat dan lain-lain, Taib berkata ia telah menyaksikan banyak perubahan hasil daripada dasar yang telah dicipta oleh PBB dan BN.
Bukan sahaja jalan, Sarawak katanya telah memiliki empat universiti sendiri dan bakal diperkenalkan sebuah lagi cawangan Kolej Laila Taib di Mukah.
Malah katanya, Mukah memiliki kilang aluminimum sebesar satu kilometer serta pembukaan dua lagi kilang di Samalaju baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment