Monday 7 May 2012

‘Perbezaan kecil’ bukan bermakna perbezaan ideologi: Salang


Posted on May 6, 2012, Sunday


SIBU: ‘Perbezaan kecil’ yang berlaku di antara Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sara-wak (SPDP) tidak bermakna ia adalah perbezaan ideologi di antara mereka.

Naib Presiden PRS yang juga Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang berkata, perkara tersebut memuncak mungkin disebabkan demam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Semua orang mengalami tekanan pilihan raya kerana ia sudah dekat, sehingga tersasul dalam banyak perkara yang tidak harus diperkatakan.

“Tetapi jika tidak, kita semua dalam sebuah keluarga dan kita tidak hanya harus memikirkan diri sendiri semata-mata,” katanya.

Berucap pada sidang media selepas Persidangan Strategik Pendekatan Baharu Isu Semasa dan Tanah Hak Adat Bumipu-tera (NCR) anjuran Belia PRS di sini semalam, Salang mahu semua pihak memikirkan tentang Barisan Nasional (BN).

Tambah Salang, tekanan pilihan raya juga menyebabkan terdapat perkara-perkara yang disalah anggap oleh media, sedangkan lain-lain hubungan adalah sangat baik.

Beliau berkata, PRS dan SPDP berada dalam BN dan kedua-duanya mahu memastikan BN menang pada PRU13 kelak.

“Kami mahu SPDP menang di semua kerusi untuk memastikan BN menang dengan majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Salang yang juga Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menasihati ahli-ahli PRS agar tidak membuat komen yang boleh menjejaskan hubungan dengan parti-parti komponen BN yang lain.

Beliau berkata, masa tidak mencukupi untuk memperbetulkan persepsi yang ditimbulkan kerana semua pihak perlu memberi tumpuan kepada persiapan menjelang PRU13.

No comments:

Post a Comment