Tuesday 15 May 2012

Terus sokong BN: Yong

Posted on May 13, 2012, Sunday
 
Gesaan kepada pengundi tanpa mengira siapa calon BN yang bakal diketengahkan


KUCHING: Ahli Parlimen Stampin, Datuk Yong Khoon Seng berharap sokongan yang diberikan kepadanya suatu masa dahulu akan terus diberikan kepada calon baharu Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 itu tidak lama lagi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Jumaat lalu sekali lagi menyatakan niatnya untuk tidak bertanding di dalam Pilihan Raya Umum akan datang ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-2 Persatuan Komuniti Sosial Skim Perumahan Mampu Stutong di sini.

Beliau juga enggan mendedahkan lebih terperinci muka baharu yang akan menggantikan tempatnya itu tetapi membayangkan bahawa pemimpin-pemimpin muda seperti Setiausaha Agung Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP),Wilfred Yap boleh menjadi calon yang berpotensi.

“Masih banyak pembangunan di Stampin yang diperlukan rakyat, oleh itu, saya berharap pengundi akan terus menyokong BN. Saya tetap berpegang kepada keputusan saya untuk tidak mengekalkan kerusi. Saya tidak dapat memberitahu anda calon itu, tetapi, anda akan mengetahuinya tidak lama lagi,” katanya.

Wilfred, yang turut menghadiri majlis itu mendedahkan beliau adalah antara dua nama yang dicalonkan oleh cawangan Ketua Pemuda SUPP Kota Sentosa untuk di pertandingkan selain Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan MPP, Lo Khere Chiang.

Pada masa yang sama, selain SUPP cawangan Kota Sentosa, pihaknya turut menerima empat pencalonan lain iaitu SUPP Batu Lintang yang telah menamakan Yong dan Setiausaha Pembantu Publisiti dan Maklumat SUPP Sih Hua Tong manakala SUPP cawangan Batu Kawah telah melantik Peguam Jenayah terkemuka, Lim Lian Kee dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Tan Joo Phoi sebagai harapan BN untuk kerusi itu.

Stampin merupakan antara empat kerusi Parlimen SUPP yang masih belum mencapai kata sepakat mengenai pencalonan. Tiga kerusi lain adalah Sibu, Lanang dan Miri.

Parti yang telah disahkan pencalonan ahli adalah bagi Bandar Kuching, Serian dan Sarikei pada 22 April lalu di Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Pengerusi SUPP cawangan Kota Sentosa yang juga merupakan Penasihat Undang-undang parti, Alfred Yap telah menggesa Yong untuk menukar fikirannya untuk mempertahankan kerusi.

“Ramai yang masih berasakan Yong adalah calon yang sesuai bagi kerusi itu. Kami amat berharap bahawa dia boleh menimbang semula keputusannya itu,” ujarnya.

Sementara itu, Yong menasihatkan Persatuan Komuniti Sosial Skim Perumahan Mampu Stutong yang majoriti ahlinya terdiri daripada kaum Cina agar menjalin hubungan rapat dengan penduduk skim perumahan Bumiputera.

Beliau mencadangkan persatuan itu tidak hanya menggunakan bahasa Mandarin apabila menjalankan aktiviti mereka kerana hampir separuh penduduknya Iban dan Bidayuh.

“Ia adalah penting untuk mengumpul kekuatan untuk kesejahteraan masyarakat. Saya berharap persatuan yang diketuai oleh Pengerusi Chian Ah Fatt boleh membuat perbezaan.” katanya sambil mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada persatuan.

No comments:

Post a Comment