Monday 7 May 2012

PR Negeri tentukan calon sendiri


by Clare Cinderella. Posted on May 7, 2012, Monday

TANDATANGAN: Anwar menurunkan tandatangan pada baju seorang penyokong beliau ketika lawatan di sekitar bandar raya Miri semalam.

PR Pusat tidak campur tangan dalam pemilihan calon daripada pakatan itu di peringkat negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13
MIRI: Pakatan Rakyat (PR) Pusat tidak akan campur tangan dengan pemilihan calon-calon daripada pakatan itu yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP di peringkat negeri.

Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata PR Pusat sebaliknya menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada PR Negeri untuk menentukan sendiri calon mereka yang bertanding mewakili pakatan berkenaan.

“Kami tidak akan campur tangan soal pemilihan calon sebaliknya menyerahkannya kepada PR peringkat negeri untuk menentukan calon mereka, kerana mereka lebih tahu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa sidang media yang diadakan di sini semalam, Anwar memberitahu bahawa PR Pusat sudah bermesyuarat dan mencapai persepakatan dan bersetuju untuk menyerahkan kepada PR di setiap negeri agar mengadakan perbincangan dan menentukan calon masing-masing.

“Kami tidak kisah siapa pun calon sama ada daripada PKR, PAS atau DAP, kerana matlamat kami adalah sama dan kami akan bekerjasama dalam satu pasukan bagi memastikan kemenangan milik kami (PR),” katanya.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membangkitkan isu-isu seksual berbanding isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sebaliknya PR akan terus fokus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Mengenai sama ada tindakan kerajaan pusat menaikkan gaji swasta di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak, akan menjejaskan sokongan terhadap pembangkang, Anwar menafikan perkara tersebut dan mendakwa ia tidak praktikal.

Katanya, gaji minimum untuk swasta di Sabah dan Sarawak tidak akan memberi banyak kesan kerana keadaan dan taraf hidup di kedua-dua negeri dengan di Semenanjung Malaysia adalah berbeza.

“Pada masa ini kami (PR) amat yakin Sarawak akan berubah selepas PRU13 kerana rakyat di Sarawak kini semakin peka dengan perubahan politik dan mereka juga ingin berubah.

“Rakyat Sarawak bukan seperti dulu, yang hanya mendengar kata-kata kerajaan melalui radio sahaja, tetapi kini mereka sudah jauh ke hadapan dengan adanya Radio Free Sarawak dan media sosial yang lain,” katanya.

Terdahulu Anwar bersama kira-kira 30 penyokongnya telah berjalan dari Pusat Komersial Centre Point menuju ke Pesiaran Kabor untuk bertemu dengan orang ramai.

Turut hadir mengiring beliau ialah Ketua PKR Miri Dr Michael Teo dan Ketua Penerangan PKR Negeri Baru Bian.


No comments:

Post a Comment