Tuesday 15 May 2012

Tolak kehadiran parti pembangkang, kata Nyalau

Posted on May 14, 2012, Monday


LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak mahu rakyat di negeri ini terutama di kawasan pilihan rayanya menolak kehadiran parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Menurut beliau, kehadiran parti pembangkang hanya bertujuan meraih sokongan politik daripada rakyat dan mereka akan menghilangkan diri sebaik sahaja berakhir PRU nanti.

“Mereka ini tidak ikhlas membantu rakyat dan hanya mementingkan diri sendiri maka saya meminta rakyat agar tidak mudah terperangkap dengan janji manis daripada pihak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan Sbangki di sekolah itu di sini, semalam.

Selain itu Nyalau memberitahu bahawa parti pembangkang hanya pandai menabur janji manis kepada rakyat tetapi sukar untuk menunaikannya.

Tetapi berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila berjanii kepada rakyat ia akan ditunaikan.

Sebagai contoh apabila kerajaan berjanji akan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 setiap keluarga dan RM100 untuk setiap murid janji itu ditunaikan.

“Tetapi buat parti pembangkang janji hanya tinggal janji maka berilah sokongan kepada calon BN demi kesinambungan projek pembangunan terus disalurkan di kawasan Lubok Antu,” katanya.

Pada masa yang sama Nyalau menjelaskan bahawa pewaris masa depan pembangunan negara bergantung kepada anak-anak muda hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap pihak sekolah dan ibu bapa di negeri ini terutama di luar bandar memainkan peranan lebih aktif untuk melahirkan lebih ramai anak-anak muda berpendidikan tinggi nanti.

“Dengan kata lain anak-anak hari ini adalah golongan modal insan yang perlu dididik serta diasuh untuk mengisi sektor pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya.

Dalam majlis itu Nyalau mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar berjumlah RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sbangki.

Turut hadir dalam majlis itu Yang Dipertua SK Sbangki Selutan Anjie, Guru Besar SK Sbangki Arifahamalina @ Adeline Abdullah dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.

No comments:

Post a Comment