Tuesday 22 May 2012

Billy yakin masih berpeluang dicalonkan dalam PRU13

Posted on May 22, 2012, Tuesday
 
RASMI: Billy (tengah) memotong reben sebagai tanda perasmian Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Unggang, Nanga Seranggir, Baleh, malam kelmarin.


KAPIT: “Saya masih berpeluang untuk menjadi calon, selagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum mengumumkan nama calon untuk P216 Hulu Rajang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13),” tegas Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo.

Beliau berkata demikian ketika ber-ucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Rumah Unggang, Nanga Seranggir, Baleh di sini malam kelmarin.

Billy menegaskan bahawa beliau selesa berkhidmat di bawah kepimpinan Perdana Menteri kerana beliau (Najib) ternyata prihatin dengan keperluan penduduk di luar bandar dan sentiasa berusaha untuk mengutamakan kehendak rakyat.

“Ini terbukti melalui pemberian bantuan RM100 kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mengagihkan Komputer Riba 1Malaysia (KR1M) kepada pelajar yang kurang berkemampuan dan pelbagai lagi polisi baharu yang telah diadakan oleh beliau untuk membantu rakyat.

“Najib sendiri pernah ke Belaga dan Kapit, untuk meninjau sendiri keperluan kita di sini.

“Ini membuatkan wakil-wakil rakyat berasa selesa untuk bekerja di bawah kepimpinan beliau kerana beliau me-rupakan seorang yang mesra dan memahami,” katanya.

Jelasnya lagi, hubungan baik beliau bersama menteri-menteri di kementerian juga membolehkan beliau menyua-rakan masalah rakyat.

Malah tegasnya, walaupun beliau wakil rakyat untuk P216 Hulu Rajang, namun ia tidak tertakhluk kepada konstituensi Hulu Rajang semata-mata, sebaliknya merupakan wakil untuk Dayak keseluruhannya.

Billy berkata, rakyat seharusnya terus memberi peluang kepada Najib untuk memimpin negara kerana beliau terbukti sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.

“Najib benar-benar mengaplikasikasikan konsep 1Malaysia yang diper-kenalkannya dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,’ dengan menetapkan KPI kepada wakil-wakil rakyat bagi memastikan kami (wakil rakyat) benar-benar turun padang untuk mengenal pasti masalah rakyat.

“Di sini juga saya ingin membetulkan salah faham sesetengah pihak yang mengatakan saya lebih mementingkan daerah Belaga berbanding Baleh.

“Untuk pengetahuan, sebanyak RM 1.38 juta peruntukan ‘Touch Point telah disalurkan kepada penduduk di Baleh, dan selebihnya di Belaga.

“Oleh itu, saya berharap tidak timbul cerita yang mengatakan saya hanya melebihkan Belaga sahaja,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu, menyeru penduduk agar terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada wakil Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM 7,000 kepada 13 rumah panjang berdekatan.

No comments:

Post a Comment