Dhia Daniel| May 7, 2012
SIBU: Sepuluh cawangan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Zon Tengah negeri ini mengadakan protes secara aman di sini semalam bagi membantah kehadiran Ketua Umum PKR dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.
Turut bersama kira-kira 150 ahli Pergerakan Pemuda PBB itu ialah ahli-ahli Biro Ekonomi Pemuda PBB Negeri dan berpuluh-puluh ahli Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida) Sibu, Unit Media Baru dan Persatuan Seni Silat Nafas Alam (NAFAS) Wilayah Sibu.
Mereka turut membawa poster yang antaranya ditulis dengan kata-kata berbunyi ‘Anwar Kuda DAP’, ‘Pengkhianat Orang Melayu’, ‘Raja Pembelit, Pembohong, Pengkhianat dan Penipu.’
Jurucakap para demonstran dan juga Ketua Pemuda PBB Cawangan Tamin Michael Mew berkata, sepuluh Cawangan Pemuda PBB itu ialah Cawangan Bukit Assek, Dudong, Pelawan, Nangka, Bawang Assan, Machan, Meluan, Tamin, Semop, Ngemah dan Meradong.
“Protes secara aman yang kami adakan hari ini adalah bagi mencadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya menghalang Anwar datang ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, Ketua Pembangkang itu datang melawat Sarawak bukan dengan tujuan untuk membela nasib rakyat sebaliknya lebih condong kepada menghasut rakyat Sarawak dengan menanam bibit-bibit kebencian.
“Rakyat di negeri ini selama ini sentiasa hidup dalam suasana aman dan sejahtera. Bagaimanapun, sejak kehadiran Anwar dengan ideologi politiknya, ketenteraman hidup penduduk di kampung mula bertukar menjadi kecoh,” tegas beliau.
Michael Mew berkata, kerana dikhuatiri keadaan sekarang mungkin boleh menjadi tidak terkawal adalah lebih baik bagi pihak berkenaan mengawal atau menyekat Anwar daripada terus berkunjung ke negeri ini.
Sungguhpun negara mengamal sistem pemerintahan demokrasi dan rakyatnya bebas untuk bergerak di mana-mana juga di seluruh pelusok negara, namun jika kehadiran seseorang pemimpin itu boleh menggugat ketenteraman adalah lebih baik kunjungannya itu dikawal, katanya.
No comments:
Post a Comment