Sunday 27 May 2012

SUPP yakin dapat menangi semula hati rakyat Kidurong


BINTULU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yakin dapat memenangi semula hati rakyat di kawasan Kidurong untuk kembali semula ke pangkuan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan Datuk Francis Harden Hollis berkata, walaupun pada masa sekarang kawasan Kidurong dikuasai Parti Tindakan Demokratik (DAP), namun beliau yakin SUPP dapat menawan semula kerusi DUN Kidurong memandangkan masih ramai ahli parti yang yakin dan setia di bawah kepimpinan SUPP yang merupakan parti komponen BN.

“Walaupun tewas di kawasan Kidurong, semua itu bukanlah bermakna SUPP terus tenggelam begitu sahaja, tetapi jadikannya sebagai satu perangsang serta tingkatkan lagi usaha kita dalam memberikan khidmat kepada masyarakat supaya kepimpinan SUPP terus diyakini sebagai parti yang benar-benar ikhlas dalam membantu rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Makan Malam Pra-Gawai Dayak 2012 dan Pertandingan Karaoke Lagu Iban anjuran SUPP Cawangan Bintulu di Highlands Seafood Restaurant di sini, malam kelmarin.

Harden berkata, semua anggota SUPP Bintulu harus menguatkan semangat bahawa kekalahan di Kidurong bukan bermakna pengakhiran kepada perjuangan parti, sebaliknya ia harus dijadikan pengajaran serta dorongan untuk memperbaiki kelemahan jentera SUPP yang merupakan parti tertua Sarawak.

“Paling penting semua ahli SUPP harus sentiasa bekerjasama serta menanamkan tekad dalam hati dengan berjuang habis-habisan bagi memulihkan semula imej serta kekuatan jentera parti khususnya di peringkat ahli Majlis Tertinggi supaya sentiasa aktif dan komited dalam setiap agenda yang diperjuangkan demi kebaikan semua ahli parti,” tegasnya.

Jelasnya lagi, SUPP Bintulu perlu terus membela serta menjaga kebajikan rakyat tempatan sama ada melalui program khidmat komuniti atau program-program lain yang dapat merapatkan lagi hubungan mereka dengan rakyat.

Justeru, jelasnya, SUPP adalah parti komponen BN yang memperjuangkan nasib semua kaum di negeri ini, selari dengan perjuangan asal kerajaan BN di bawah kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang mementingkan hak semua kaum serta menjaga keamanan serta kesejahteraan hidup rakyatnya.

Harden turut menggesa masyarakat Dayak di kawasan Bintulu khususnya di Kidurong agar meneruskan sokongan padu terhadap kepimpinan BN bagi pembangunan yang berterusan di kawasan mereka.

“BN adalah satu-satunya kerajaan yang mampu mentadbir dengan baik di negeri ini yang mana memahami akan kehendak rakyat serta memberikan segala manfaat yang diinginkan demi kesenangan dan kesejahteraan hidup rakyat,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment