Posted on May 19, 2012, Saturday
KUCHING: Persengketaan di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Wong Judat dan Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang dilihat tidak berkesudahan.
Terbaharu, Wong secara terbuka mahu calon baharu yang merupakan anak tempatan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Saya sebagai seorang pengundi di kawasan Parlimen Julau mewakili rakyat di kawasan itu menyampaikan keinginan para pengundi di situ untuk melihat anak tempatan bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Julau.
“Melalui apa yang saya dengar dan lihat pengundi amat mengharapkan pertukaran wakil rakyat BN yang sedia ada dengan anak jati tempatan kerana hal ini berikutan empat penggal yang lalu Parlimen Julau diwakili orang import,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan usul terima kasih terhadap ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
“Untuk pengetahuan Ketua Menteri yang kita kasihi dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kita hormati, kekecohan yang didengar oleh rakan-rakan wakil rakyat berlaku di Julau sekarang bukanlah kerana rakyat di Julau tidak mahu menyokong BN, tetapi ingin menukar calon wakil rakyat yang sedia ada,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Wong memberitahu bukanlah hasrat rakyat di situ untuk masuk campur dalam pemilihan calon komponan parti BN yang lain, tetapi demi kemenangan BN di Parlimen itu.
No comments:
Post a Comment