Saturday 26 May 2012

Entulu cabar Sng bertanding menentangnya di Selangau


Posted on May 25, 2012, Friday



KUCHING: Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Entulu Belaun mencabar penganjur Parti Pekerja Sarawak (SWP)

Datuk Sng Chee Hua untuk menentangnya di Selangau pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tegas beliau, usaha Sng untuk menentang Presiden PRS Tan Sri James Masing pada PRU kali ini adalah tidak berasas kerana Masing sememangnya tidak akan bertanding.

“Saya adalah orang kedua… lawanlah orang kedua, apa ditakut. “Saya sekarang mencabarnya (Sng) untuk menentang saya di Selangau.

“Saya akan sedih kalau beliau tak bertanding di sini,” katanya.

Entulu yang juga merupakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian pada sidang media sempena majlis penutupan Konvensyen Gerakan Daya Wawasan (GDW) Kepada Penggerak di sini, semalam.

Penyandang Parlimen Selangau selama tiga penggal itu juga tidak menganggap SWP sebagai ancaman kepadanya untuk mempertahankan kerusi pada PRU kali ini, termasuk Pakatan Rakyat (PR).

“Tidak (ancaman SWP)… saya juga tidak kisah kalau seisi keluarganya bertanding menentang saya menggunakan parti yang berbeza.

“Begitu juga PR kerana kita sentiasa bersedia sama ada calon itu daripada PR atau SWP,” katanya.

Selangau mempunyai seramai 23,000 pengundi dengan 90 peratus daripadanya ialah Iban.

Menurut Entulu, sejak tahun 2006 beliau telah membawa masuk projek bernilai RM200 juta di Selangau.

“Nasihat saya kepada pengundi, jangan diperbodohkan… anda tahu, Sng tetap Sng… tiada bezanya,” nasihat Entulu kepada pengundi di Selangau.

No comments:

Post a Comment