Monday 7 May 2012

Seminar bantu ahli PRS hadapi PRU13


Posted on May 7, 2012, Monday

SIBU: Seminar Persidangan Strategik Pendekatan Baharu Politik dan Isu Semasa mampu membantu ahli-ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu Belaun berkata seminar berkenaan merupakan cara untuk ahli-ahli parti menyahut keperluaan dan mengurus kejayaan.

Kejayaan yang dimaksudkan oleh Entulu adalah keadaan PRS pada masa ini yang disifatkannya sebagai aman dan tanpa kacau-bilau berlaku.

“Kita hendaklah sentiasa bersatu padu, bersedia dan tidak boleh lalai untuk bertempur dengan musuh bila-bila masa,” ujar Entulu ketika Majlis Penutupan Rasmi dan Makan Malam sempena Persidangan Strategik Pendekatan Baharu Politik dan Isu-isu Semasa di Hotel RH, dekat sini malam kelmarin.

Entulu memberitahu, pemilihan tajuk serta dengan mengundang panel-panel daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) adalah pilihan yang tepat kerana isu-isu kebiasaan dibangkitkan di kawasan PRS adalah isu-isu berkaitan tanah adat.

“Hasil daripada seminar ini, ia bakal menjadi modal kepada setiap anggota PRS untuk berbahas dengan pembangkang dan pihak NGO di mana sekalipun dan pada bila-bila masa,” katanya.

Seminar bertema Pemuda Penggerak Transformasi yang bermula jam 8.30 pagi kelmarin itu merupakan anjuran Pergerakan Pemuda Pusat PRS dan menjemput beberapa penceramah antaranya daripada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, JASA dan JTS.

Dalam ucapan yang sama Entulu menegaskan cabaran PRS pada tahun ini adalah lebih kuat berikutan kewujudan sebuah lagi parti baharu iaitu Pekerja Sarawak (SWP).

Menurutnya SWP hanya akan memecahkan kaum Dayak yang dianggapnya sudah berpecah.

“Jika kaum Dayak termakan kata-kata daripada parti itu maka ia amat menyedihkan.

“Masyarakat Dayak hari ini sudah berpecah dan saya berharap kita tidak akan lagi dibahagi-bahagikan,” tambahnya.

Malam itu, Entulu diberi penghormatan untuk menyerahkan sijil Jasamu Dikenang kepada tujuh ahli PRS.

Majlis makan malam itu turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda PRS Datuk Mong Dagang, Setiausaha Pergerakan Pemuda PRS Alexander Kadir Dato, tuai-tuai rumah, penghulu-penghulu dan peserta seminar.

No comments:

Post a Comment