Monday 21 May 2012

Jangan bersekongkol dengan SWP

Posted on May 19, 2012, Saturday


ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak menasihatkan para pengundi di kawasan Parlimen Lubok Antu agar tidak bersekongkol dengan Parti Pekerja Sarawak (SWP) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Menurutnya, SWP yang dikatakan diterajui Datuk Sng Chee Hua dan berhasrat untuk bertanding di keenam-enam kerusi milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebenarnya ingin membalas dendam, bukan mahu memajukan rakyat.

Nyalau mendakwa, Sng berbuat demikian kerana marah anaknya, Larry Sng Wei Shien disingkirkan dari PRS berikutan masalah dalaman kepimpinan parti pada ketika itu.

“Itu sahaja tujuan Sng… bukannya berhasrat untuk memajukan dan membela nasib rakyat terutamanya di kawasan pedalaman yang masih memerlukan pembelaan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Tahunan PRS Bahagian Engkilili di sini, semalam.

Selain itu, Nyalau memberitahu ahli PRS dengan kerjasama tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatau (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) harus berjuang habis-habisan untuk memastikan Parlimen Lubok Antu terus kekal milik PRS.

“Kita berjuang bersama-sama untuk memastikan calon parti pembangkang sama ada SWP ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) berputih mata pada pilihan raya di sini nanti,” ujarnya.

Sng bersama kumpulannya sudah melawat pekan Engkilili dan Lubok Antu bagi mencari bilik operasi pilihan raya sebagai persediaan menjelang PRU13.

Sng juga dikatakan menghubungi beberapa bekas ahli PBDS yang menyokong kuat bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang untuk mengajak mereka menyertai SWP.

Namun begitu, SWP sedang mencari calon yang sesuai untuk menentang Nyalau sekiranya Nyalau diberi kepercayaan mengibarkan bendera BN pada PRU13 kelak.

No comments:

Post a Comment