Monday 7 May 2012

Mawan nafi Dr Tiki dicalon pertahankan Mas Gading



by Patricia Gari. Posted on May 4, 2012, Friday



Laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris hanyalah khabar angin daripada sumber-sumber yang tidak sah


KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom semalam menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris bahawa Datuk Dr Tiki Lafe akan dicalonkan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Beliau menambah laporan itu hanyalah khabar angin daripada sumber-sumber yang tidak sah.

“Bagi SPDP sebagai komponen dan ahli Barisan Nasional (BN) perkara ini (pencalonan semula Dr Tiki) tidak pernah dibincangkan begitu juga dengan jawatankuasa pengurusan BN.

“Jauh sekali membincang-kannya dengan Perdana Men-teri dan Ketua Menteri.

“Tiada sebarang keputusan dibuat (berhubung pemilihan calon),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Mawan menambah, parti sedia maklum kedudukan Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) sebagai pengerusi BN Negeri manakala Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN kebangsaan mempunyai hak istimewa membuat keputusan akhir.

“KM sebagai pengerusi BN Negeri dan PM selaku pengerusi BN kebangsaan mempunyai hak istimewa (prerogrative) membuat keputusan tetapi biasanya selepas proses konsultasi (dengan presiden parti). Ini telah dilakukan selama ini,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk seseorang individu mengesah atau menyatakan dirinya calon BN dengan mengetepikan mekanisme digunakan selama ini adalah tindakan yang mengelirukan serta tidak betul.

“Bagi saya bercakap kepada media dan memaklumkan yang anda adalah calon hanya kerana khabar angin me-ngatakan begitu, anda telah membuat kesimpulan terlalu cepat,” katanya.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata Sabtu ini, beliau akan menghantar senarai calon daripada SPDP yang akan bertanding pada PRU13 termasuk calon untuk Mas Gading ke Ibu Pejabat BN di Kuala Lumpur untuk diteliti seterusnya diputuskan oleh Perdana Menteri.

“Keputusannya akan diketahui selepas saya berjumpa dengan PM dan apa jua kenyataan mahupun khabar angin mengenai calon yang dibuat sebelum keputusan akhir dibuat PM, adalah tidak benar,” katanya.

Beliau menambah, bagi kerusi Mas Gading beliau akan mengemukakan lebih daripada satu nama untuk berlaku adil begitu juga dengan kerusi-kerusi lain yang diper-untukkan kepada SPDP.

“Untuk berlaku adil saya akan kemukakan lebih daripada seorang calon dan yang pasti bukan Dr Tiki,” katanya.

Justeru beliau menasihati penyokong dan ahli BN terutama SPDP tidak mudah mempercayai khabar angin itu sebaliknya terus memperhebatkan program serta kempen parti.

Beliau juga berharap orang yang menggelar dirinya pe-nyokong setia BN seperti Dr Tiki dan kumpulannya seharusnya berusaha mencari jalan untuk menyokong BN.

Barisan Nasional katanya kesatuan parti, bukannya individu dan semangat itu telah membuatkan BN kuat selama ini.

“Jadi saya merayu ketepi-kan perasaan atau kepen-tingan peribadi, perbalahan kumpulan dan sebagainya tanpa mengambil kira siapa pun lawan kita.

“Elak daripada menentang dan mensabotaj antara satu sama lain. Hindari perkara ini kerana ia hanya akan melemahkan BN,” ujarnya.

Khabar berkenaan memetik kenyataan sumber mengatakan Dr Tiki dan penyandang kerusi Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit telah mendapat restu daripada Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada PRU13 akan datang.

Dr Tiki adalah penyandang kerusi Mas Gading yang merupakan kerusi majoriti Bidayuh, sebelum beliau meletak jawatan daripada parti ekoran keputusan pucuk kepimpinan parti tidak akan mencalonkannya semula untuk memper-tahankan kerusi itu.

Beliau antara ahli Kumpulan 5 (G5) yang telah meninggalkan parti seterusnya membentuk Kelab BN. Empat lagi ahli G5 ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).

No comments:

Post a Comment