Tuesday, 15 May 2012

Rakyat harus berfikiran matang

Posted on May 15, 2012, Tuesday
 
CERIA: Taib bersalaman dengan Tun Salahuddin selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan DUN Ke-17, semalam.


Jangan bertindak di luar batasan, sentiasa hormati undang-undang: Tun Salahuddin
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin mahu rakyat di negeri ini supaya tidak bertindak di luar batasan dan sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata tindakan seperti itu bukan hanya akan menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini tetapi menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Saya menasihati semua rakyat (Sarawak) supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang usaha yang boleh menggugat keharmonian di negeri ini.

“Perpaduan adalah asas kepada keamanan, kedamaian dan kemajuan yang dinikmati selama ini.

“Oleh itu, perpaduan yang sedia wujud di kalangan rakyat pelbagai suku kaum hendaklah sentiasa dipupuk serta dipelihara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sarawak Ke-17 di Kompleks DUN di sini, semalam.

Tun Salahuddin menambah, rakyat harus berfikir secara matang dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya yang berselindung di sebalik amalan demokrasi dan kebebasan bersuara.

Beliau berkata rakyat harus sedia maklum penglibatan dalam aktiviti-aktiviti tidak berfaedah itu akan menjejaskan keselamatan awam, kestabilan politik dan pembangunan ekonomi serta menjejaskan imej negara.

Dalam ucapan perasmiannya itu juga Tun Salahuddin berkata pembangunan ekonomi harus seimbang dengan pembangunan sosial untuk kesejahteraan hidup berkualiti.

Menurutnya dalam mengejar kemajuan pesat, isu-isu sosial seperti jenayah, jangkitan penyakit berjangkit, amalan hidup songsang dan tekanan hidup harus dikawal dan dipantau.

“Masalah ini mestilah ditangani dengan bijaksana kerana kesannya merencatkan pertumbuhan ekonomi, meruntuhkan nilai moral dan menggugat keselamatan negeri.

“Pihak berwajib perlulah menjalankan tugas dengan dedikasi dan komited menangani masalah tersebut melalui pendekatan praktikal serta berkesan,” katanya.

Justeru katanya kepimpinan kerajaan tempatan dan di peringkat akar umbi mesti memainkan peranan lebih aktif agar lebih ramai rakyat terlibat dalam proses pembangunan sosial.

Menyentuh mengenai pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), beliau berkata ia berada di landasan yang betul dan akan menjadikan Sarawak berstatus negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Oleh itu rakyat perlu memperlengkapkan diri untuk merebut peluang-peluang yang diwujudkan oleh industri baharu ini serta kesan limpahannya.

“Golongan belia khususnya lepasan sekolah hendaklah merebut peluang latihan teknikal dan vokasional yang ditawarkan oleh pelbagai institusi latihan awam dan swasta,” katanya.

No comments:

Post a Comment