Monday 7 May 2012

Mawan berusaha selesai masalah melibatkan Wong Judat dan Salang



MAWAN
KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sara-wak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom akan bertemu kumpulan Wong Judat dan Datuk Joseph Salang Gandum Sabtu ini di Julau dalam misi-nya menyelesaikan masalah melibatkan kedua-dua wakil rakyat itu.

Beliau berkata, ia adalah cubaan keduanya selepas usaha pertamanya sebelum ini tidak mendapat maklum balas positif daripada Judat mahupun Salang.

“Ketika ini kontroversi mengatakan SPDP mensabotaj PRS di Julau hangat diperkatakan dan saya akan ke sana Sabtu ini dengan misi penting iaitu menyelesaikan masalah peribadi antara Wong Judat dan Datuk Joseph Salang yang merupakan punca masalah melibatkan parti,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, isu SPDP cuba mensabotaj PRS (Parti Rakyat Sarawak) di Julau tidak pernah timbul kerana kedua-dua parti itu bukan bermusuhan dan merupakan komponen Barisan Nasional (BN) Negeri.

“PRS dan SPDP bukan bermusuhan. SWP (Sarawak Workers Party) bukan rakan mereka (PRS) walaupun mendakwa ia berpihak kepada BN.

“Jadi perkara penting sekarang ialah kami (PRS dan SPDP) duduk berbincang mencari jalan bagaimana hendak berdepan dengan SWP bukannya cuba menimbulkan masalah lain dengan mengatakan Judat atau SPDP buat itu dan ini… tolonglah jangan buat begitu,” katanya.

Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial berkata, tindakan membuat kenyataan menerusi media menentang antara satu sama lain bukan penyelesaian kepada masalah di Julau sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan.

“PRS harus tahu SPDP sentiasa memberi sokongan (sebagai komponen BN)… saya akan ke Julau Sabtu ini dalam misi menyelesaikan masalah ini untuk mengukuhkan BN serta untuk kebaikan Salang, saya akan ke sana,” katanya sambil menambah Salang telahpun dimaklumkan me-ngenai perkara itu.

Menurutnya, beliau percaya Judat tidak berniat mensa-botaj PRS kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan itu masih penyokong setia BN dan SPDP.

“Tidak kira siapa lawan atau musuh kita (BN) cuba ketepikan perasaan peribadi, perbalahan individu mahupun kumpulan.

“Carikan keutamaan dengan itu BN boleh terus melangkah dan akan lebih kukuh bukannya lemah.

“Saya berharap situasi ini dilihat daripada perspektif yang lebih luas iaitu perspektif BN bukannya kumpulan atau individu,” ujarnya.

Isu SPDP cuba mensabotaj PRS di Julau hangat diperkata selepas Judat menghadiri majlis yang turut dihadiri penggerak utama SWP Datuk Sng Chee Hua di Nanga Entabai baru-baru ini.

Kehadirannya pada majlis itu menyebabkan ramai pihak beranggapan beliau menyokong Sng yang dikhabarkan akan bertanding di kerusi Parlimen Julau di bawah tiket SWP menentang calon BN kemungkinan besar Salang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pertemuan antara Judat dan Sng pada majlis itu telah menyebabkan beberapa pemimpin dan ahli komponen BN lain termasuk Setiausaha Agung PRS Datuk Wilfred Nissom mengeluarkan kenya-taan.

Judat bagaimanapun dalam kenyataannya memberitahu bahawa pertemuannya dengan Sng adalah satu kebetulan bukannya dirancang.

Beliau menambah, majlis itu dianjurkan oleh Tuai Rumah Budul dan beliau hadir sebagai tetamu jemputan untuk merasmikan majlis.

“Itu adalah program Pemimpin Bersama Rakyat Nanga Entabai. Ia adalah majlis mesra rakyat. Bukan majlis SWP dan Datuk Sng kebetulan berada di situ,” katanya.

No comments:

Post a Comment