Monday, 7 May 2012

Intelektual Dayak tidak faham matlamat BN: Ellison


Posted on May 6, 2012, Sunday


SIBU: Golongan intelektual Dayak tidak tahu matlamat serta hala tuju Barisan Nasional (BN) dengan mendalam, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Kaunselor Ellison Silo Bilun.

Menurutnya, disebabkan itu golongan terbabit melawan dan mencabar BN selepas dihasut oleh golongan berkepentingan.

“Mereka (golongan intelektual) telah dipergunakan oleh pihak pembangkang untuk membenci kerajaan seterusnya menghasut rakyat.

“Itulah nasib orang kita khususnya golongan intelektual Dayak yang menjadi mangsa. Sepatutnya mereka harus bijak menggunakan kepandaian masing-masing dan bukannya mendengar dari satu pihak sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Pra-Gawai yang diadakan di kediamannya di Jalan Undan di sini, malam kelmarin.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Naib Ketua Wanita PRS Angeline Umis Tujok, Bendahari Pergerakan Wanita PRS Gawai Inggong, Naib Ketua Pemuda PRS Sempurai Petrus Ngelai dan Setiausaha Pemuda PRS Alexander Kadir Dato.

Jelasnya lagi, golongan intelektual Dayak seharusnya bekerjasama dengan parti politik yang sedia ada di negeri ini bagi memperjuangkan nasib anak bangsa sendiri.

“Jangan memperjuangkan agenda membenci kerajaan dan menghasut rakyat. Tiada apa hasilnya jika mereka berbuat demikian kerana ia tidak membawa sebarang makna.

“Ia sebenarnya hanya memecahbelahkan sesama bangsa. Golongan intelektual Dayak harus berpandangan jauh dan tidak berfikir cetek,” tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda PRS telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan memastikan PRS memenangi semua kerusi miliknya kelak.

“Saya yakin PRS akan menang di kesemua kerusinya di PRU13 nanti. Kami tidak gentar dengan mana-mana lawan kami nanti kerana para Pemuda PRS telah pun bersedia sejak dari awal lagi.

“Dengan jentera yang dimiliki kami, kami yakin dan pasti akan menang mudah pada PRU13 nanti. Ia dapat dibuktikan melalui sokongan rakyat selama ini semasa jentera kami turun padang khususnya ke kawasan-kawasan pedalaman,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment