Tuesday 15 May 2012

Senarai calon difahamkan sudah di tangan PM

Posted on May 11, 2012, Friday

KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud difahamkan telah mengemukakan senarai nama bakal calon empat parti komponen BN di Sarawak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom percaya senarai terbabit diserahkan kepada Najib ketika lawatan Perdana Menteri ke negeri ini, baru-baru ini.

Sepanjang lawatan mulai 26 hingga 28 April itu, Najib turut meluangkan masa menghadiri majlis makan malam di kediaman Taib pada 27 April.

Dr Rundi berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah pasti akan mengetengahkan beberapa muka baharu seperti yang dinyatakan oleh Taib sebelum ini.

“Kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk memuktamadkan dan seterusnya mengumumkan nama mereka,” katanya semalam.

PBB diperuntukkan 14 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diperuntukkan tujuh kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) mempunyai enam kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dengan empat kerusi.

Bagi SUPP, apa yang hampir pasti ialah mereka akan mengetengahkan muka baharu di Bandar Kuching, Stampin, Sibu dan Miri.

Setakat ini mereka mengesahkan akan menamakan Ketua Pemuda Tan Kai di kerusi Bandar Kuching. PRS pula dikatakan menggugurkan penyandang kerusi Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo dan menggantikannya dengan Setiausaha Sulit Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Masing, Wilson Ugak Kumbong. Parti itu memutuskan untuk mengekalkan lima penyandang lain.

Bagi SPDP pula, muka baharu akan dicalonkan di Mas Gading bagi menggantikan Datuk Dr Tiki Lafe yang dipecat daripada SPDP.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, PBB, PRS dan SPDP menang semua kerusi ditandingi, manakala SUPP kalah satu kerusi di Bandar Kuching. SUPP kehilangan kerusi Sibu menerusi pilihan raya kecil pada tahun 2010.

No comments:

Post a Comment