Tuesday 29 May 2012

Larry Sng dipilih terajui SWP


Posted on May 29, 2012, Tuesday



PENCABAR PRS: Larry (duduk, tiga kanan), George (duduk, tiga kiri) serta yang lain merakam kenangan selepas selesai AGM SWP di Sibu, semalam.

Penasihat Belia di Pejabat Ketua Menteri dan bekas ADUN Pelagus ini dipilih sebagai Presiden
SIBU: Penasihat Belia di Pejabat Ketua Menteri dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Larry Sng telah dipilih sebagai Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama SWP di sebuah hotel terkemuka di sini semalam, Larry mengesahkan jawatannya dalam parti itu.

“Seramai 20 orang ahli Majlis Tertinggi SWP telah dipilih dalam AGM hari ini (semalam). Sementara 16 ahli lagi akan diumumkan kemudian,” ujar-nya.

Mereka yang dipilih ialah ADUN Pelagus George Lagong sebagai Timbalan Presiden, Naib Presiden Kanan Josephine Randan Mawat dan William Ghani Bina.

Munan Laja, Chua Kim Hui dan Tony Muari pula masingmasing dipilih sebagai Naib Presiden.

Sementara itu, mereka yang dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi ialah Jonathan Jalin, Ellison Ludan, Kaya Ansi, Ng Wee Chung, Labang Ayum, Pasang Tuba, Ma Thian Ho, Leon Wong Seh Leng, Jalin Selemo, Okang Lepun, Sng Chee Eng, Lipeh Mani, Jefferson Jingan dan Willy Liban. Ellison dan Johnathan merupakan ahli SWP yang berpotensi dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk bertanding di kerusi Parlimen Kanowit dan Lubok Antu.

Larry turut mengesahkan bahawa SWP akan bertanding pada PRU13 di enam kerusi Parlimen yang disandang PRS iaitu Parlimen Julau, Lubok Antu, Sri Aman, Hulu Rajang, Kanowit dan Selangau. Menurutnya, SWP adalah rakan dan mesra Barisan Nasional (BN) kecuali Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“SWP adalah rakan kepada semua parti komponen BN kecuali PRS. Ini kerana SWP hanya akan bertanding di enam kerusi Parlimen yang disandang oleh PRS sahaja. Kami tidak akan meletak calon di kerusi milik rakan-rakan BN yang lain.

“Kami juga bersedia akan bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain jika kami diperlukan bagi menghadapi PRU13,” ujarnya lagi sambil memberitahu bahawa SWP adalah sebuah parti baharu dan merupakan parti yang dianggotai oleh pelbagai kaum,” jelasnya lagi.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus selama dua penggal itu turut ditanya adakah SWP ini mempunyai kaitan dengan ayahnya yang merupakan bekas Ahli Parlimen Julau Datuk Sng Chee Hua, Larry lantas menjawab: “Saya tidak tahu apa-apa tentang perkara itu dan saya meminta anda (wartawan) tidak mengaitkan SWP ini dengan ayah saya,” tegasnya. Mengenai calon SWP yang akan bertanding di PRU13 kelak,

Larry menjelaskan bahawa SWP mempunyai calon yang boleh menang seterusnya dapat berkhidmat untuk rakyat.

“Kami mempunyai calon yang berwibawa dan boleh menang pada pilihan raya nanti. SWP pasti menempa sejarah dalam arena politik di negeri ini.

“Mengenai calon, nama mereka sudah dikenal pasti cuma kami belum dapat umumkannya sekarang. Bila tiba masanya nanti, baharulah saya umumkan dan ini bergantung dengan keputusan parti,” katanya.

Ditanya adakah dirinya akan bertanding pada PRU13, Larry menjelaskan bahawa ia bergantung kepada sokongan rakyat dan keputusan parti.

“Ia bergantung kepada sokongan rakyat di sesuatu tempat dan saya masih menilai dan mencari sokongan rakyat daripada akar umbi. Buat masa ini, sokongan rakyat amat menggalakkan terhadap SWP,” katanya.

Ditanya mengenai peluang SWP pada PRU13, beliau berkata, SWP merupakan sebuah parti baharu dan biarlah rakyat yang menentukan.

Jelasnya, SWP membuka keahliannya kepada semua rakyat tanpa mengira di kawasan pedalaman atau bandar.

“Semua dialu-alukan untuk menjadi ahli SWP dan kami tidak memilih siapa-siapa lebihlebih lagi SWP adalah sebuah parti yang berbilang kaum dan agama,” tambahnya sambil mengumumkan bahawa SWP setakat ini mempunyai kirakira 10,000 ahli di negeri ini.

Sehubungan itu, Larry mengumumkan dirinya akan meletakkan jawatan dengan kerajaan (Penasihat Belia di Pejabat Ketua Menteri) dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment