Monday, 7 May 2012

Manifestasi perjuangan pemimpin veteran


by Mastura Ismail. Posted on May 7, 2012, Monday

SERAH: Awang Tengah menerima bendera PBB daripada Fadillah yang mewakili Armada Pemuda PBB malam kelmarin.


Program Armada Pemuda PBB yang turun padang untuk menyelami permasalahan rakyat peringkat akar umbi banyak memberi faedah kepada rakyat, kata Fadillah

LAWAS: Armada Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ternyata berjaya memanifestasikan semangat perjuangan para pemimpin PBB terdahulu melalui program turun padang untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata program penjelajahan dan turun padang ke seluruh negeri untuk menyelami permasalahan di peringkat akar umbi banyak memberi faedah kepada rakyat.

Jelasnya inilah tanggungjawab dan cabaran besar yang perlu dipikul oleh para pemimpin Pemuda PBB sekarang sebagaimana pencapaian cemerlang para pemimpin terdahulu khususnya membawa transformasi menyeluruh untuk kepentingan rakyat.

“Dalam lawatan ke seluruh negeri, Pemuda PBB berjaya mendekati masyarakat dan mengenal pasti keperluan di peringkat akar umbi.

“Ini adalah beban dan tanggungjawab yang anda perlu pikul untuk generasi akan datang,” katanya pada Penutupan Program Armada Pemuda PBB di Lawas malam kelmarin.

Turut sama ialah Ketua Pemuda PBB Negeri yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Lambir Ripin Lamat, ADUN Saribas Mohd Razi Sitam dan jemputan lain.

Awang Tengah berkata lagi, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud turut memuji program tersebut yang dapat menjadi rujukan dan pendedahan yang baik kepada Pemuda PBB mempelajari perjuangan parti.

“Program ini banyak memberi pengalaman dan pengetahuan berguna kepada para pemimpin muda untuk memberi khidmat kepada rakyat dan negeri sebagai pelapis kepimpinan yang akan datang untuk Sarawak,” katanya.

Katanya Pergerakan Pemuda PBB juga perlu mempunyai semangat juang yang tinggi untuk membentuk masa depan yang lebih baik.

“Bagi mencapai objektif itu mereka harus berani menghadapi pelbagai cabaran, perubahan dan perkembangan politik yang semakin mencabar,” tambahnya.

Awang Tengah berkata Malaysia di bawah Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan prestasi lebih baik daripada beberapa negara Afrika yang mendapat kemerdekaan lebih awal tetapi dipenuhi dengan persengketaan dan huru-hara yang disebabkan perpecahan di kalangan rakyat.

“Sarawak akan menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan tahun depan, namun telah mencapai perubahan yang amat besar dengan kepimpinan dan kesinambungan kerajaan yang lebih baik.

“Inilah perbezaan yang dibuat oleh kerajaan BN dan perjuangan parti kita,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa kestabilan, keamanan dan keselamatan adalah prasyarat untuk negara dan negeri maju dalam semua bidang.

“Pemuda PBB sebagai nilai masa depan harus mendukung nilai dan semangat yang telah dibawa parti dan negara ke tahap sekarang sekali gus memastikan kestabilan terus terpelihara di negeri ini yang mempunyai berbilang kaum.

“Apa yang kita perlu hargai adalah semangat perpaduan yang kita nikmati pada hari ini. Ia perlu dipelihara kerana ia menjadi asas kepada kemajuan negara pada masa depan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment