Monday 7 May 2012

Sertai perhimpunan BERSIH 3.0 hanya serlahkan sikap buruk pembangkang


Posted on May 7, 2012, Monday


SIBU: Tindakan pembangkang terbabit dalam perhimpunan BERSIH 3.0 hanya menyerlahkan lagi sikap buruk mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee berkata, harapan mereka untuk memenangi pilihan raya dengan menganjurkan perhimpunan seperti itu tidak akan membuahkan hasil.

Bahkan ujar Annuar, penyokong mereka yang begitu setia terhadap perjuangan mereka selama ini kini semakin menjauhkan diri.

Sikap pihak pembangkang katanya, dikecam kerana tindakan berhimpun seperti itu telah menjejaskan aktiviti pelancongan dan perniagaan sehingga ramai antara pelabur asing bimbang tentang keselamatan negara.

“Bagaimana boleh mereka (pembangkang) mendakwa bahawa mereka akan mendapat kelebihan dalam Pilihan Raya Umum akan datang hanya kerana sesetengah orang yang mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

“Mereka tidak dapat menterjemahkan ini sebagai sokongan kepada mereka. Mereka harus berhenti daripada bermimpi,” ujar beliau sebagai maklum balas terhadap kenyataan Pengerusi DAP Negeri Wong Ho Leng.

Dalam pada itu, Wong dalam sidang medianya baru-baru ini telah dipetik sebagai berkata bahawa mereka telah mendapat momentum seperti yang dilihat daripada tindak balas pada perhimpunan BERSIH tempoh hari.

Menurut Annuar, tindakan mengadakan perhimpunan seperti itu sehingga berlaku kekecohan telah melanggar dan mencabul undang-undang negara.

Annuar juga menyifatkan pembangkang telah menjadikan perhimpunan terbabit sebagai alat politik mereka dan agenda peribadi.

Bercakap lanjut, Annuar mempersoalkan mengapa perhimpunan tersebut telah dikawal oleh pembangkang.

Beliau turut menggambarkan pihak pembangkang telah menyalahgunakan demokrasi dengan mengambil jalan berhimpun bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Sebaliknya menurut Annuar, mereka (pembangkang) sepatutnya bercakap di Parlimen bagi mengutarakan ketidakpuasan hati mereka dan juga rakyat amnya.

No comments:

Post a Comment