Wednesday, 4 April 2012

Rakyat diajak tolak fitnah pembangkang terhadap kerajaan BN

Posted on April 4, 2012, Wednesday
SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat mengajak rakyat di negeri ini agar menolak segala fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebaliknya beliau menyeru rakyat terus berdiri teguh di belakang kerajaan sedia ada.
Menurutnya, segala fitnah pembangkang terhadap kerajaan BN selama ini sebenarnya tidak melemahkan semangat pemimpin BN sebaliknya meniupkan lagi semangat pemimpin BN untuk terus bekerja keras untuk rakyat.
Katanya, perbuatan pembangkang menabur fitnah terhadap kerajaan BN adalah sia-sia sahaja dan membuang masa dan mereka ini (pembangkang) tidak mampu membawa perubahan dan pembangunan kepada rakyat,” ujarnya.
“Justeru, rakyat yang pernah berpihak kepada pembangkang semasa pilihan raya yang lepas, sekali lagi saya menyeru kepada anda semua agar kembali ke pangkuan BN untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sri Aman dengan kerjasama Komuniti 1Malaysia Kampung Sabu di Rumah Kedeney, Kampung Beletik Undop dekat sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat terutama yang menetap di kawasan luar bandar agar tidak mudah termakan segala hasutan pihak pembangkang yang sudah mula bergerak ke kawasan luar bandar untuk menagih simpati agar menyertai mereka.
“Ingin saya tegaskan di sini, kita semua sudah pandai berfikir yang mana baik dan yang mana buruk dan jelas terbukti segala pembangunan yang kita lihat hari ini adalah daripada kerajaan BN bukannya daripada pihak pembangkang.
“Pembangkang hanya pandai bermain kata-kata dan cuba menghasut rakyat untuk menyertai mereka sebaliknya mereka itu tidak mampu membawa sebarang pembaharuan dan pembangunan kepada rakyat,” tegasnya.
Oleh yang demikian katanya, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan menjelang tidak lama lagi adalah peluang kita semua untuk terus bersatu bagi memastikan kerajaan BN terus bertapak kukuh di Sarawak.
“Kita perlu berganding bahu sesama sendiri dan terus menyatakan sokongan kepada kerajaan sedia ada dan sekiranya rakyat terus menyokong kita, setiap pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan sudah pasti akan terlaksana,” ujarnya.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis.

No comments:

Post a Comment