by Sandy Mark Luna. Posted on April 26, 2012, Thursday
Dialog bersama media beri gambaran sebenar mengenai dakwaan pemusnahan hutan
KUCHING: Sesi dialog bersama beberapa media asing semalam diharap dapat memberi gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku di Sarawak lebih-lebih lagi tentang dakwaan pemusnahan hutan sesuka hati untuk penanaman kelapa sawit di negeri.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu memberitahu, kerajaan menyedari kewajipan dan bertanggungjawab untuk melindungi hutan dan menyediakan habitat kepada haiwan, selain mengambil pertimbangan dalam keperluan budaya dan tradisi tempatan.
Justeru, Jabu sekeras-kerasnya menolak beberapa dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa kerajaan negeri telah beralih kepada kemusnahan hutan untuk ladang kelapa sawit.
“Justeru, saya berharap anda (media asing) dapat memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di sini, bukannya seperti yang didakwa oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing.
“Sesetengah NGO berpura-pura tahu tentang kami (Sarawak), tetapi tidak pernah melawat dan menjejaskan nama negeri ini dengan melaporkan perkara-perkara negatif tentang kami,” katanya ketika menjawab soalan daripada media asing semasa dialog di Hotel Hilton di sini semalam.
Terdahulu, media asing dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Kanada yang berada di sini turut melawat ladang-ladang kelapa sawit di Stenggang, Bau.
Jabu berharap lapan orang peserta, selepas melihat dan mendengar sendiri penjelasan, akan tahu kebenaran dan memberi penerangan kepada negara Barat melalui penulisan mereka.
Antara soalan yang dibangkitkan oleh peserta adalah mengenai pembangunan tanah yang melibatkan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) yang berkaitan dengan kelapa sawit, yang melibatkan tanah NCR dan sama ada pembangunan itu memusnahkan habitat orang utan.
Ini telah dijelaskan dengan baik oleh Jabu, dan antara jawapannya adalah ladang kelapa sawit atas tanah NCR adalah untuk membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar, sambil menambah bahawa kerajaan akan terus membangunkan kelapa sawit, sama ada melalui estet atau ladang pekebun kecil.
Pokok-pokok getah berhasil tinggi juga akan terus ditanam dengan objektif untuk membasmi kemiskinan, katanya.
Mengenai sama ada pembangunan ladang kelapa sawit turut memusnahkan habitat orang utan, Jabu berkata kerajaan tidak akan memusnahkan hutan di mana orang utan dijumpai.
Jabu juga menjelaskan tentang pengurusan hutan yang menyatakan telah dilaksana secara serius.
“Penanaman semula hutan adalah antara usaha utama kerajaan untuk membolehkan kemapanan hutan,” katanya.
No comments:
Post a Comment