Monday 16 April 2012

SPDP tubuh jawatankuasa khas tingkat imej positif BN di kawasan majoriti Cina

 

Posted on April 15, 2012, Sunday

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu meningkatkan imej positif Barisan Nasional (BN) di kawasan majoriti Cina.
Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, jawatankuasa yang diketuai Timbalan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing dan dibantu Bendahari Agung Senator Pau Chiung Ung akan melaksanakan peranan dalam mengimbangi isu negatif yang dilemparkan terhadap BN.
“Kita tahu tidak semua mereka yang mengundi DAP suka dengan parti itu, tetapi disebabkan ada alasan yang kita tidak tahu.
“Di sinilah peranan kita untuk melaksanakan tanggungjawab dan bekerjasama sebagai parti komponen dalam BN,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP di sini, semalam.
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berhadapan dengan cabaran besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak apabila keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada April 2011 membuktikan sokongan majoriti Cina di bandar semakin menyusut.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri yang dahulunya dikuasai SUPP.
Sementara itu, persediaan menghadapi pilihan raya, Putera dan Puteri SPDP kini sudah mula bergerak di beberapa kawasan dengan tumpuan di Bau.
Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, program-program di peringkat akar umbi adalah untuk menambah sokongan dalam usaha memastikan kemenangan BN.
Malah, bagi melengkapkan usaha mengukuhkan parti, barisan kepimpinan SPDP disifatkan beliau sebagai gabungan orang lama yang setia dan orang muda yang bertenaga.
“Ini merupakan antara proses transformasi parti,” katanya sambil menambah ia juga sesuai dengan perkembangan masa kini yang menyaksikan perjuangan politik turut berlaku di siber.
Pada sidang media itu, Mawan turut mengumumkan barisan pemimpin yang dilantik selepas Perhimpunan Agung Perwakilan di Bintulu pada Mac lepas.
Profesor Mohd Shafiq Abdullah dan Rayan Narong dilantik sebagai Naib Presiden, Nelson Balang Rining kekal sebagai Setiausaha Agung dan dibantu Paul Igai, Tiong Kuong Ching sebagai Timbalan Bendahari Agung, Ketua Penerangan Jacky Chan dan dibantu Churchill Edward Drem, dan Tony Chen sebagai Ketua Putera.
Ahli biasa Majlis Tertinggi terdiri daripada Josephine Tuah, Wan Lah, Michael Siten, Lawas, Gines Ruwah dan Wendy Trang.
Lantikan turut membabitkan Maslinda dan Udin Ali sebagai wakil kepentingan khas dalam komuniti.

No comments:

Post a Comment