Sunday 22 April 2012

Pembangkang mahu rakyat membenci BN




by Patricia Gari. Posted on April 20, 2012, Friday

Anjur perhimpunan Bersih 3.0 menerusi NGO, tawar cenderamata untuk tarik orang ramai

KUCHING: Pembangkang sekali lagi cuba menimbulkan kebencian rakyat negeri ini terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kata Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Perhimpunan Bersih adalah perhimpunan dianjurkan oleh pembangkang dengan menggunakan NGO sebagai barisan hadapan.

“Ia bertujuan menimbulkan kekecohan, kesesakan lalu lintas dan ucapan-ucapan antikerajaan dengan niat untuk membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan memerintah ketika ini,” katanya kepada Utusan Borneo.

Karim menambah, tindakan penganjur memberikan cenderamata kepada 100 peserta pertama yang memakai baju kuning dan penganjuran beberapa aktiviti adalah untuk menarik orang ramai menyertai perhimpunan tersebut.

“Semua pemberian percuma seperti belon, ais krim dan sebagainya adalah untuk menarik penyertaan orang ramai kerana perhimpunan sebelum ini (Bersih 2.0) gagal.

“Mungkin dengan semua pemberian percuma dan aktiviti sampingan diadakan mereka (penganjur) lebih bernasib baik,” ujarnya.

Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, jika penganjur benar-benar ikhlas, adalah lebih baik cenderamata-cenderamata berkenaan diberikan kepada rumah-rumah kebajikan.

“Nasihat saya kepada mereka… berilah hadiah-hadiah percuma ini untuk tujuan lebih baik iaitu dermakan kepada rumah-rumah kebajikan seperti Cheshire Home, PERYATIM dan sebagainya,” kata beliau.

Sementara itu Setiausaha Agung BN negeri yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi berkata, perhimpunan itu tidak akan menjadi isu sekiranya ia tidak menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam.

“Selagi mereka (peserta perhimpunan) tidak menimbulkan masalah dan tidak melanggar undang-undang sedia ada, penganjuran perhimpunan ini bukan satu masalah,” katanya.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak See Chee How berkata, perhimpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan di Tebingan Kuching dan pekarangan Kompleks Mahkamah Lama dijangka lebih meriah kerana pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya pertandingan bola sepak jalanan dan fotografi.

“Belon kuning, minuman sejuk Bersih dan ais krim yang enak menanti 100 peserta pertama yang memakai baju kuning,” katanya sambil menambah penganjur perhimpunan berkenaan Jawatankuasa Pemandu Bersih telah memohon permit untuk tujuan itu.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching Superintenden Pauzi Bujang memberitahu bahawa pihaknya tidak ada menerima sebarang maklumat penganjuran perhimpunan itu.

“Saya tidak tahu (mengenai penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 di bandar raya ini),” katanya ringkas.

Perhimpunan Bersih 3.0 adalah kesinambungan kepada Bersih 2.0 selepas hanya satu daripada tujuh lapan tuntutan Bersih diluluskan dalam laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PCS) iaitu penggunaan dakwat kekal ketika proses mengundi diadakan.

Tujuh lagi tuntutan lain iaitu memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, akses media yang bebas serta adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan hentikan politik kotor tidak langsung dimasukkan dalam laporan 22 cadangan diusulkan PCS.

Di peringkat kebangsaan himpunan Bersih 3.0 akan diadakan di Dataran Merdeka pada hari sama dan penganjur menjangkakan kira-kira 500,000 orang akan menyertai perhimpunan tersebut.

No comments:

Post a Comment