Monday 16 April 2012

Forum ‘Siapa Bos?’ mendapat sambutan penyokong setia PKR

 

Posted on April 16, 2012, Monday
 
BERI PENERANGAN: Anne (tengah) mempengerusikan Forum ‘Siapa Bos?’ manakala George (kiri) dan See merupakan penceramah forum.

KUCHING: Forum awam ‘Siapa Bos?’ yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong setia parti terbabit.
Hampir 200 penyokong PKR hadir untuk mengikuti forum itu yang membincangkan mengenai ‘siapa sebenarnya bos’ antara rakyat dan pemimpin.
Forum berkenaan dipengerusikan oleh Anne Teo yang merupakan seorang peguam manakala penceramah terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How, ADUN Pelagus George Lagong dan Andrew Aeria daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Hadir sama Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin.
Menurut Baru, forum itu diadakan tepat pada masanya bagi memberi maklumat kepada rakyat berhubung amalan demokrasi yang dipraktikkan di negara ini.
“Pada masa ini warna (watak) pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah nampak jelas.
“Ini kerana ada antara mereka hanya merangka pembangunan untuk penyokong BN semata-mata,” katanya ketika berucap pada forum berkenaan di sini, semalam.
Sementara itu, Zuraida menambah, rakyat pada masa sekarang perlu lebih matang dalam perkembangan politik.
“Ia disebabkan ada di kalangan pemimpin mengamalkan politik ketinggalan zaman,” ujarnya.
Baju-T Bersih 3.0 yang berharga RM15 turut dijual ketika forum tersebut berlangsung untuk membolehkan ahli PKR menggunakannya semasa Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini di Tebingan Kuching.

No comments:

Post a Comment