Monday 16 April 2012

Rakyat S’wak tahu menilai pembangkang: Ismail Sabri

 

Posted on April 15, 2012, Sunday

KUCHING: Rakyat Sarawak diyakini tahu menilai dan rasional dengan tidak mempercayai janji kosong pembangkang yang sudah mula datang ke negeri ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana pembangkang akan membuat janji yang mereka tidak pernah tepati.
“Saya percaya rakyat Sarawak amnya dan penduduk Petra Jaya khasnya tidak dipengaruhi janji-janji palsu mereka (pembangkang) yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan.
“Kami (kerajaan BN) tidak pernah ragu, bimbang kepada rakyat Sarawak kerana percaya, anda semua tahu menilai dan tetap memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Program Francais Komuniti Peringkat Negeri 2012 di Kampung Pinang Jawa di sini, semalam.
Beliau menegaskan, kerajaan juga percaya Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang amat penting kerana merupakan kubu kuat BN.
“Pembangkang akan berjanji apa sahaja tetapi kita kena lihat, mereka tepati janji atau tidak.
“Misalnya di Selangor enam perkara yang mereka janjikan kepada rakyatnya sehingga kini masih belum tertunai dan kosong sahaja,” ujar beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof dalam ucapannya berkata, segelintir pihak kini sudah mula datang ke negeri ini dengan pelbagai janji.
“Mereka juga mengatakan bahawa kerajaan BN hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai menunaikan.
“Namun sebaliknya kerajaan BN telah mengadakan pelbagai program untuk manfaat serta kesejahteraan rakyat,” ujar Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu.
Program Francais Komuniti yang merupakan pertama kalinya diadakan di negeri ini anjuran bersama KPDNKK dengan Persatuan Penduduk Petra Jaya bermula pada 13 hingga 15 April yang bertempat di Padang Semarak Kampung Pinang Jawa.

No comments:

Post a Comment