Sunday 22 April 2012

Calon Sibu: Lau serah kepada pucuk pimpinan BN



Posted on April 20, 2012, Friday

SIBU: Temenggung Vincent Lau Lee Ming menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi membuat keputusan sama ada hendak mencalonkannya bagi kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang atau sebaliknya.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan BN iaitu Perdana Menteri dan Ketua Menteri untuk menentukan siapa calon yang akan bertanding bagi kerusi ini (Sibu) nanti.

“Jika pucuk pimpinan BN berpendapat ada calon lain yang lebih sesuai daripada saya, saya terima keputusan tersebut dengan hati terbuka,” ujarnya semalam.

Lau terdahulu berkata demikian apabila ditanya berhubung laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris kelmarin yang melaporkan kerusi Parlimen Sibu kemungkinan menyaksikan dua nama calon daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dihantar kepada pengerusi BN.

Menurut laporan itu yang memetik sumber dalaman SUPP, Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin dikatakan memilih Ketua Pegawai Ekse-kutif Kolej ITA Dr Benny Lee, yang namanya difahamkan telah dihantar bersama-sama nama calon lain kepada Perdana Menteri.

Pada mesyuarat parti bulan lepas, Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh telah mencadangkan Lau untuk bertanding di kerusi Parlimen Sibu sementara Datuk Tiong Thai King di kerusi Parlimen Lanang.

Lau yang juga timbalan pe-ngarah urusan Kumpulan KTS memberitahu, perkara seperti itu (beberapa nama dicadangan bertanding) merupakan perkara biasa menjelang pilihan raya.

“Namun keputusan menentukan calon yang bertan-ding masih terletak pada pucuk pimpinan BN iaitu Perdana Menteri dan Ketua Menteri,” katanya sambil menambah laporan tersebut dilihat hanya satu spekulasi dan khabar angin sahaja.

Menurut Lau, beliau memilih untuk dicalonkan atau bertanding bukan atas sebab untuk kemegahan diri atau kepentingan peribadi, seba-liknya kerana ingin terus berkhidmat kepada masyara-kat dengan lebih baik.

Siapa sahaja calon yang dipilih atau bertanding nanti, beliau berharap calon terbabit harus menerimanya dengan ikhlas dan berkhidmat dengan sepenuh hati kepada rakyat.

Lau juga memberitahu, beliau tidak pasti dengan ke-sahihan laporan tersebut memandangkan ia bukan datang daripada mulut Chin sendiri, sebaliknya daripada sumber yang boleh diragui.

Sementara Naib Pengerusi SUPP Sibu Daniel Ngieng Kiong Ann berkata, Lau merupakan calon yang boleh diharapkan bagi merampas kembali kerusi Parlimen Sibu daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Beliau merupakan calon yang mendapat sokongan ramai dan boleh menang di Sibu,” ujarnya sambil mene-gaskan hanya terdapat satu nama dicadangkan bagi kerusi Parlimen Sibu.

Ngieng berkata, nama lain yang dicadangkan itu mungkin datang daripada ahli-ahli parti yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan SUPP Sibu.

Beliau juga tidak melihat berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Sibu pada PRU13, sebaliknya hanya antara BN menentang DAP.

“Namun jika ada calon be-bas yang ingin bertanding, kita tidak dapat menghalang,” tambah Ngieng.

Pengerusi Unit Bumiputera SUPP Sibu Andrew Shilling pula memberitahu, berdasarkan kenyataan sebelum ini, keputusan menentukan nama calon bagi kerusi Parlimen Sibu diberikan kepada Dato Sri Wong Soon Koh.

“Ini bermakna, hanya Dato Sri Wong sahaja yang boleh mencadangkan nama calon bagi kerusi Sibu dan Lanang. Selain daripada beliau, pihak lain yang mencadangkan nama calon mereka adalah tidak sah,” katanya.

Andrew memberitahu, apa yang dilaporkan akhbar bahasa Inggeris terbabit adalah spekulasi semata-mata.

No comments:

Post a Comment