Monday 16 April 2012

Calon Kota Samarahan belum diketahui

 

by Wan Ali Amit. Posted on April 15, 2012, Sunday

Tunggu pemimpin tertinggi BN umum pengganti Sulaiman, kata Mohammad Ali
KOTA SAMARAHAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hanya akan diketahui apabila disahkan oleh pemimpin tertinggi BN.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Sri Mohammad Ali Mahmud berkata, buat masa ini calon yang bakal bertanding untuk kerusi Parlimen Kota Samarahan masih belum diketahui.
“Kita belum tahu siapakah calon BN yang bakal bertanding di Parlimen Samarahan.
“Kita tunggu sahaja pengesahan dan pengumuman daripada pemimpin tinggi BN nanti,” katanya ditemui Utusan Borneo selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-24 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Muara Tuang, di sini semalam.
Mohammad Ali berkata, terdapat beberapa calon BN yang layak menggantikan penyandang, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib bagi mempertahan Parlimen Kota Samarahan.
Menurutnya, calon-calon BN sememangnya telah dikenal pasti termasuk seorang calon wanita yang merupakan anak tempatan (Kota Samarahan).
“Kita akan mengetahui bakal calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan apabila tiba masanya nanti,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan mesyuarat agung PIBG SMK Muara Tuang, Mohammad Ali meminta ibu bapa dan guru saling bekerjasama untuk mempertingkat dan memberi kecemerlangan pendidikan kepada anak-anak.
Menurutnya, pencapaian cemerlang pelajar-pelajar sekolah terbabit baik dalam akademik dan kokurikulum merupakan kebanggaan kepada ibu bapa dan guru.
“Justeru, saya merakamkan tahniah atas kerjasama dan semangat kesatuan kukuh ibu bapa dan pihak sekolah dalam memastikan kejayaan cemerlang anak-anak,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Ali juga berharap dengan beberapa peruntukan projek sekolah dapat memperlihat keadaan sekolah terbabit lebih selesa.
Beliau berkata, beberapa projek seperti laluan jalan kaki berbumbung, tempat perhimpunan berbumbung, lampu trafik (depan sekolah) dan sebagainya bakal dilaksanakan di sekolah terbabit.
“Kita menunggu peruntukan daripada pihak kerajaan dan saya percaya projek-projek terbabit dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Pada majlis itu, Mohammad Ali mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 iaitu RM5,000 untuk kegiatan PIBG dan RM5,000 untuk masjid sekolah terbabit.
Hadir sama Pegawai Daerah Samarahan Mohd Aini Abdul Wahab, Pengetua SMK Muara Tuang Mohd Bedrie Ali Akebar dan Yang Dipertua PIBG SMK Muara Tuang, Nawi Som.

No comments:

Post a Comment