Monday 16 April 2012

Rakyat mahu Mahmud dicalon di Kota Samarahan

 

by Wan Ali Amit. Posted on April 16, 2012, Monday
 
SOKONG: Rakyat akar umbi di kawasan Asajaya menyatakan sokongan padu kepada Mahmud sebagai calon BN Parlimen Kota Samarahan pada PRU13, di Asajaya, semalam.

Penduduk sebulat suara dan bersepakat memberi sokongan padu kepada beliau sebagai calon BN: Jais
ASAJAYA: Rakyat peringkat akar umbi menyokong tokoh korporat, Dato Sri Mahmud Bekir Taib dicalonkan bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Justeru, penduduk di situ mahu pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) mencalonkan Mahmud bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan pada PRU13 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini.
Ahli veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Asajaya Hulu Jais Deli, 81, berkata penduduk di sini dengan sebulat suara dan bersepakat memberi sokongan padu kepada Mahmud sebagai calon BN Kota Samarahan pada PRU13.
“Kami benar-benar mahukan pemimpin yang berwibawa dan mampu membawa pembangunan mapan kepada rakyat di kawasan Samarahan,” katanya di sini semalam.
Jais ditemui bersama-sama lebih 100 penyokong setia BN di kawasan Asajaya yang membawa pelbagai sepanduk dan kain rentang menyatakan sokongan padu mereka terhadap Mahmud sebagai calon BN Parlimen Kota Samarahan pada PRU13.
Menurut Jais, Mahmud merupakan seorang ahli perniagaan tersohor dan diyakini mampu menjadi pemimpin terbaik bagi rakyat di sini untuk memajukan kawasan Samarahan.
Malah katanya, pengalaman ayahnya, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri) sebagai bekas Ahli Parlimen Kota Samarahan sebelum ini akan dapat diteruskan oleh beliau.
“Kami percaya Mahmud adalah calon terbaik bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kota Samarahan pada PRU13 ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penyokong kuat BN iaitu Pon Silat, 77, juga senada dengan Jais bahawa mereka menyokong penuh jika Mahmud dicalonkan di Parlimen Kota Samarahan.
Menurut Pon, walaupun masih baharu dalam politik mereka percaya Mahmud boleh menjadi wakil rakyat yang baik dalam meneruskan perjuangan keluarganya di kawasan ini.
“Kita lebih maklum bahawa Samarahan pesat membangun hasil kebijaksanaan Ketua Menteri (Pehin Sri Taib Mahmud) yang telah berusaha gigih memajukan kawasan ini.
“Lantas usaha ayahnya (Taib) berterusan apabila Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman dipilih sebagai wakil rakyat bagi Parlimen Kota Samarahan (sekarang),” katanya.
Pon seorang petani yang juga berasal dari Kampung Asajaya Hulu yakin kesinambungan kepimpinan keluarga Taib di sini mampu meletakkan Samarahan di landasan gemilang.
Menurutnya, pengalaman Mahmud sebagai ahli perniagaan sudah pasti mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di bahagian Samarahan.
“Justeru, kami benar-benar berharap agar pucuk pimpinan BN memberi peluang kepada Mahmud bertanding di Parlimen Kota Samarahan pada PRU13 nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment