Monday, 23 April 2012

Bidayuh harus terus bersama BN



Posted on April 23, 2012, Monday

Suasana politik sedia ada akan bertambah baik sekiranya BN terus kekal di tiga kerusi Parlimen majoriti kaum Bidayuh, kata Manyin


KUCHING: Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin berkata, suasana politik sedia ada akan bertambah baik sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal di tiga kerusi Parlimen majoriti kaum Bidayuh pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, ia merujuk kepada ketiga-tiga kerusi Parlimen Mas Gading, Mambong dan Serian serta enam lagi kerusi Dewan Undangan Negeri yang sudah ditawan BN sebelum ini.

Merujuk kepada pemimpin kaum Bidayuh, kini mereka mempunyai dua timbalan menteri di peringkat persekutuan serta seorang menteri penuh, dua menteri muda dan timbalan speaker di peringkat negeri.

Manyin menegaskan, sekiranya salah satu daripada tiga kerusi Parlimen terbabit jatuh kepada pihak pembangkang, ‘status quo’ jawatan bagi kaum Bidayuh dalam kerajaan tidak akan dikekalkan.

“Kita kaum Bidayuh tidak mempunyai pilihan. Semua enam kerusi untuk pilihan raya negeri yang lalu dimenangi BN, maka tiga kerusi Parlimen kawasan Bidayuh ini juga mesti kekal bersama BN dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Manyin yang juga ketua penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) berkata demikian dalam Majlis Makan Malam ‘Udung Bidayuh’ (Forum Bidayuh) di Kampung Sinjok malam kelmarin.

Sebelum ini, majlis yang sama diadakan di Bau pada 27 Februari lalu, manakala siri ketiga dan terakhir akan diadakan di Serian pada 5 Mei depan.

Sementara itu, Manyin percaya pilihan raya akan datang akan dilangsungkan pada bulan Jun.

Beliau berkata ‘Udung Bidayuh’ dilakukan untuk tiga Ahli Parlimen, enam ADUN dan dua setiausaha politik ketua menteri untuk duduk bagi membincangkan isu-isu kebimbangan masyarakat Bidayuh.

Sejak penubuhannya pada 1997, ‘Udung Bidayuh’ berjaya mengurangkan pergeseran ketidaksefahaman di kalangan kaum Bidayuh dalam politik yang katanya cuma seramai 200,000 ahli dalam empat parti (PBB, SUPP, PRS dan SPDP) dalam komponen BN.

“Pernah sekali berlaku perselisihan faham antara ahli-ahli komponen BN dan ahli komponen yang lain tidak mahu membantu ahli komponen yang memegang kerusi,” katanya.

Dalam hal yang berkaitan, Manyin turut menyatakan impiannya untuk melihat kaum Bidayuh meruntuhkan perbezaan adat dan loghat bahasa masing-masing serta menerima antara satu sama lain selaras dengan semangat 1Bidayuh.

“Kita tidak bercakap mengenai perbezaan peribadi tetapi sebaliknya kita sama-sama memikirkan isu yang lebih besar mengenai kaum Bidayuh secara keseluruhan tanpa mengira jika orang itu adalah dari Jagoi, Singai, Lundu, Krokong, Singai, Padawan, Penrissen, Bukar atau Sadong.

“Suatu hari nanti, mana-mana pemimpin Bidayuh tidak kira dari bahagian mana pun boleh dicalonkan di mana-mana kawasan Bidayuh yang lain dan diterima oleh semua Bidayuh. Itulah impian saya.

“Jika impian itu direalisasikan, maka kita telah mencapai sasaran 1Bidayuh,” katanya.

Turut menghadiri majlis itu adalah kesemua sembilan wakil rakyat kaum Bidayuh termasuk Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, Ahli Parlimen Mambong yang juga Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit, Pengerusi Penganjur Temenggung Datu Stephen Jussem, Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik dan pemimpin cawangan DBNA serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

No comments:

Post a Comment