Tuesday 17 April 2012

Lau akan bekerja keras

by Andy Sabang. Posted on April 17, 2012, Tuesday
 
Beliau tidak akan leka di sebalik respons positif mengenai kemampuannya merampas semula kerusi Parlimen Sibu

SIBU: Temenggung Vincent Lau menjelaskan bahawa beliau tidak akan leka di sebalik respons positif pelbagai pihak mengenai kemampuannya mengembalikan semula kerusi Parlimen Sibu ke pangkuan Barisan Nasional (BN).
Katanya, memenangi semula kerusi Parlimen Sibu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi kira-kira 60 peratus daripada pengundi kerusi berkenaan adalah kaum Cina.
Lau menjelaskan, Parlimen Sibu merupakan salah satu kerusi paling panas dan ia sesuatu yang sukar untuk diberikan gambaran awal di mana sesetengah kawasannya dikuasai penduduk berketurunan Cina.
“Pengundi di kerusi Parlimen Sibu terdiri daripada kaum Iban, Melayu dan Cina. Pun begitu undi Cina masih belum berkeupayaan untuk memastikan kemenangan memihak kepada BN.
“Saya akan bekerja keras biarpun mendapat respons positif daripada pelbagai pihak terutama dalam memastikan orang ramai memahami aspirasi kerajaan BN dan program transformasi yang direncanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian bagi memberi respons daripada pemerhati politik yang mendakwanya adalah individu terbaik merampas semula kerusi Parlimen Sibu daripada pembangkang.
Menurut pemerhati politik terbabit, peluang Lau untuk memenangi kerusi Parlimen Sibu pada pilihan raya umum akan datang adalah tinggi.
Dalam pada itu Lau juga turut berharap agar sokongan daripada pengundi kaum Cina akan bertambah baik berbanding pilihan raya sebelumnya.
“PRU kali ini adalah pa-ling sukar, khususnya di kawasan majoriti Cina dan saya fikir kita masih mempunyai banyak kerja untuk dilakukan dalam menjelaskan apa yang boleh dilakukan untuk mereka.
“Mudah-mudahan dengan cara sedemikian mereka mampu menghargai apa yang kita cuba sampaikan,” ujar Lau.
Sehubungan itu Lau berharap rakyat faham bahawa calon BN adalah individu yang berkemampuan memenuhi keperluan mereka.
Pada 10 Mac lalu SUPP Cawangan Sibu sebulat suara mengesyorkan beliau (Lau) dan Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King untuk mewakili BN dalam pilihan raya akan datang.

No comments:

Post a Comment