Monday 23 April 2012

PBB tidak benar individu daripada BN lawan PBB



Posted on April 23, 2012, Monday

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) tidak akan membenarkan mana-mana individu daripada cawangan atau kelompok Barisan Nasional (BN) bertanding melawan parti PBB di kawasan PBB.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jika perkara itu berlaku individu tersebut dianggap sebagai pembangkang dan bukan penaja kepada parti BN.

Merujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Penaja UMNO Negeri Sarawak (JPUNS) Affendi Jeman, Wan Junaidi turut yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan membenarkan perkara tersebut berlaku di kalangan parti komponen BN.

“Kalau dia dari cawangan atau kelompok BN, bertanding melawan parti PBB di kawasan PBB yang juga tulang belakang parti BN Negeri, dia saya anggap sebagai pembangkang dan bukan penaja parti BN.

“Saya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN Pusat tidak akan membenarkan mana-mana parti BN melawan mana-mana parti komponen di kawasan parti komponen BN yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Goebilt di tapak dewan baharu kampung berkenaan di sini kelmarin.

Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat turut percaya perkara tersebut adalah satu khabar angin dan meskipun dia (Affendi) mungkin berfikir sedemikian, ia tidak mungkin akan berlaku.

Jelasnya, UMNO sendiri belum ada hasrat untuk masuk ke Sarawak disebabkan negeri ini mempunyai wakil Bumiputera yang kukuh iaitu PBB.

Justeru katanya, keperluan untuk UMNO masuk ke Sarawak belum berbangkit dan dalam keadaan demikian, jika UMNO berhasrat ke arah itu, mereka perlu berbincang dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Saya yakin ini tidak mungkin akan berlaku. Sama seperti parti-parti BN yang lain seperti PPP. Mereka hanya datang membantu sahaja dan kalau tidak membantu mereka dianggap sebagai pembangkang dalam konteks Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut menafikan beliau akan digugurkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang tetapi pada masa yang sama, tidak membantah jika parti memilih orang lain untuk menggantikannya.

Persoalannya, menurut Wan Junaidi, mampukah seseorang itu mengisi apa yang telah beliau lakukan dari segi peruntukan dan kemudahan yang telah dibawa ke kawasan yang diwakilinya.

“Anda mesti menjadi seseorang untuk masuk ke kawasan saya. Kalau tidak mencapai prestasi, saya yakin satu penggal sahaja anda akan habis. Jadi dengan keadaan sedemikian terpulang kepada parti untuk memilih,” katanya sambil berharap tidak akan dicalonkan untuk kawasan Parlimen lain.

No comments:

Post a Comment