Posted on April 23, 2012, Monday
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengekalkan penyandang kerusi Parlimen Serian dan Sarikei selain mempertaruhkan muka baharu bagi kerusi Bandar Kuching pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Presidennya Datuk Seri Peter Chin berkata, tiga nama calon itu Datuk Richard Riot (Serian), Ding Kuong Hiing (Sarikei) dan Kaunselor Tan Kai (Bandar Kuching) telah dipersetujui pada mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) untuk dihantar kepada pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, empat lagi nama calon iaitu bagi kerusi Parlimen Sibu, Lanang, Miri dan Stampin belum diketahui dan ia dijangka akan diputuskan selewat-lewatnya pada 30 April ini.
“Bagi kes Sibu dan Lanang, kami CWC belum menerima senarai calon daripada jawatankuasa zon Parlimen berkenaan dan berharap kedua-dua pengerusinya akan mengemukakan nama kepada parti selewat-lewatnya 30 April ini.
“Dua lagi kerusi iaitu Miri dan Stampin juga belum diputuskan dan seperti yang telah saya jelaskan nama calon yang akan bertanding akan diketahui selewat-lewatnya 30 April ini untuk dihantar kepada pucuk pimpinan tertinggi BN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di ibu pejabat parti itu di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Chin turut mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan parti menjelang PRU13.
Tegasnya jika didapati ada di kalangan ahli yang melakukan aktiviti berkempen atau melobi bertentangan dengan parti, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin ke atas mereka yang terlibat.
“Semua ahli dalam parti mesti bekerjasama untuk memastikan calon-calon yang akan kita pertaruhkan nanti mampu memenangi kerusi yang ditandingi.
No comments:
Post a Comment