Monday 30 April 2012

Dakwaan sabotaj semakin jelas

Posted on April 30, 2012, Monday
 
WILFRED

Tindakan Wong hadir majlis bukan BN kuatkan dakwaan sabotaj ke atas PRS


KUCHING: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Wong Judat menghadiri majlis bukan Barisan Nasional (BN) di Julau Sabtu lepas mengecewakan pemimpin dan rakan-rakan ahli komponen BN Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Setiausaha Agung PRS Datuk Wilfred Nissom berkata apa yang berlaku pada hari itu menguatkan dakwaan awal oleh Presiden PRS Tan Sri James Masing wujudnya sabotaj ke atas PRS di Julau.

Berikutan itu, Nissom mempersoalkan sama ada terdapat sebarang tindakan akan diambil oleh pimpinan SPDP ke atas Wong yang hadir sebagai tetamu kehormat untuk majlis anjuran Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang berhasrat untuk bertanding di kerusi PRS.

Wong yang merupakan ADUN Meluan turut difahamkan membuat kritikan secara terbuka terhadap Ahli Parlimen Julau yang juga Naib Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum dalam ucapannya dalam satu majlis di rumah panjang di Nanga Entabai, Julau.

“Apa yang SPDP akan kata sekarang ke atas kempen terbuka Wong menentang Ahli Parlimen BN di Julau?,” soalnya susulan laporan yang menyatakan Wong telah merasmikan majlis anjuran SWP baru-baru ini.

Wong dikatakan telah memberikan ucapan berapi mengkritik Salang di sebalik fakta kedua-dua mereka adalah dalam BN.

Turut difahamkan bahawa lebih daripada 2,000 penduduk dari Meluan dan Pakan di bawah Parlimen Julau menghadiri majlis tersebut.

Dalam perkembangan lain, Nissom turut menjelaskan situasi di Julau tidak boleh disamakan dengan majlis makan malam Kumpulan 5 di Pusat Redeems, Bau yang dihadirinya dua minggu lepas.

Beliau yang telah dikritik sekeras-kerasnya oleh ahli-ahli SPDP kerana menghadiri dan berucap pada majlis itu dikatakan cuba mempromosikan Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe untuk dicalonkan semula bagi kerusi itu.

“Apabila saya dikritik oleh beberapa orang daripada SPDP kerana menghadiri majlis makan malam Kumpulan 5, mereka tidak melihat bahawa kumpulan itu adalah wakil rakyat BN dan tiga daripada mereka adalah menteri muda BN,” katanya.

Atas sebab itu beliau menegaskan bahawa majlis makan malam kumpulan itu adalah majlis BN dan tidak sama seperti majlis yang dihadiri oleh Wong di Julau kerana ia jelas dianjurkan oleh parti luar daripada BN.

No comments:

Post a Comment