Sunday 22 April 2012

Penubuhan SWP sebahagian senario politik S’wak


Posted on April 21, 2012, Saturday


KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan kelulusan penubuhan Parti Pekerja Sarawak (SWP) sebagai sesuatu yang positif dalam konteks sebuah negara demokrasi.

Malahan, menurut beliau, terpulang kepada rakyat untuk memilih mana-mana parti yang mereka sukai pada pilihan raya di negara ini.

“Ia (penubuhan SWP) merupakan sebahagian daripada senario politik di Sarawak. Kita telah mengamalkan demokrasi.

“Sebuah lagi parti baharu, kenapa tidak? Ia terpulang kepada rakyat untuk memilih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 50 Multiple District 308 Lions Convention di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelulusan pendaftaran SWP oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) baru-baru ini. Bagaimanapun, berhubung minat SWP untuk meletakkan calon di kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, Taib menegaskan: “Mereka bebas untuk berbuat demikian.”

Sementara itu, akhbar semalam menyiarkan Presiden Penaja SWP Dr Ong Lark Sai berkata penubuhan parti itu bertujuan untuk memenuhi kesejahteraan rakyat kelas pekerja.

Ong yang sebelum ini dikatakan akan menyokong perjuangan BN bagaimanapun memberitahu keputusan sama ada memihak parti pemerintah atau pembangkang belum dimuktamadkan.

Ong tidak menafikan parti tersebut berminat untuk meletakkan calon di beberapa kerusi pada PRU13 nanti.

Berhubung majlis semalam, Taib menyarankan Kelab Lions di negeri ini agar mengambil lebih ramai ahli bagi memperkasakan semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang mengagumkan saya tentang Kelab Lions ini, mereka amat komited dan sanggup untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Maka itu, kita berharap pertubuhan ini akan terus memperluaskan lagi semangat sukarelawan dengan merekrut lebih ramai ahli dan tanpa mengharapkan ganjaran,” katanya.

Taib berkata, dengan pembangunan sosial yang semakin pesat ia mungkin akan menjadikanindividu semakin sibuk tanpa berpeluang dalam perkhidmatan sosial.

Sehubungan itu, ujar beliau, masyarakat tidak harus membiarkan kesibukan mereka menghalang peluang untuk terbabit dalam aktiviti sukarelawan. “Melalui konvensyen yang dianjurkan ini, ia memberi peluang kepada Kelab Lions untuk memperkukuhkan lagi kualiti kepimpinan yang ada,” tegasnya.

Jelasnya, program yang diadakan itu merupakan sebahagian daripada proses pembangunan kepada Sarawak dalam memastikan keharmonian dalam kalangan masyarakat akan berterusan.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola MD 308 Anthony Cheong dalam ucapannya menggalakkan delegasi yang hadir untuk menyertai pelbagai program yang telah diatur.

Katanya, konvensyen yang bertemakan ‘In Unity We Believe’ amat bertepatan dengan matlamat Lions untuk bekerjasama dengan harmoni.

“Kita perlu terus untuk mengukuhkan hubungan muhibah antara satu sama lain dengan tujuan yang sama,” katanya.

Konvensyen yang berlangsung dari 19 hingga 22 April itu dihadiri kira-kira 17,000 delegasi yang terdiri daripada ahli dari Malaysia, Singapura dan Brunei.

Majlis semalam turut dihadiri isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

No comments:

Post a Comment